AM > BERITA

AUKU Wajar Dikekalkan Sebagai Tunjang Tadbir Urus, Wadah Pemerkasaan Mahasiswa

28/01/2026 08:36 PM

KUALA NERUS, 28 Jan (Bernama) -- Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 wajar dikekalkan sebagai kerangka perundangan utama yang relevan dalam memacu kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata kepentingan mengekalkan AUKU adalah berasaskan faktor dasar yang menjamin kestabilan serta kemajuan ekosistem universiti secara keseluruhan.

Beliau berkata AUKU menjadi tunjang utama kepada penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam di Malaysia sejak dikuatkuasakan pada April 1971, dengan sifat dinamik akta berkenaan dibuktikan melalui lapan pindaan yang dilaksanakan termasuk penambahbaikan aspek tatakelola serta pengurusan aktiviti pelajar.

“Kesediaan kementerian untuk terus mengkaji dan menggantikan mana-mana peruntukan yang tidak lagi relevan adalah bukti akta itu sentiasa ditambah baik bagi menjamin kebebasan akademik dan memenuhi keperluan semasa institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izani berkata demikian ketika mengulas ketegasan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyatakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang memansuhkan AUKU, sebaliknya akta itu telah beberapa kali ditambah baik.

Zambry dilaporkan berkata AUKU adalah rangka perundangan utama bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam, dengan akta itu telah melalui lapan kali pindaan meliputi pelbagai skop termasuk penambahbaikan tatakelola, pengurusan aktiviti serta tatatertib pelajar.

Mohd Izani berkata beliau bersetuju penambahbaikan terhadap peruntukan tertentu dalam AUKU adalah langkah paling tepat ketika ini kerana ia menjamin kestabilan akademik dan keselamatan kampus.

Beliau berkata pindaan AUKU selama ini dapat membantu universiti mencapai matlamat pendidikan apabila ruang kebebasan pelajar diberikan, sekali gus menjadikan mereka matang, seimbang dan harmoni selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FKB).

“AUKU kini harus dilihat sebagai landasan pembentukan kepimpinan mahasiswa dan bukannya instrumen sekatan semata-mata. Melalui pindaan yang telah dilaksanakan, mahasiswa diberi ruang lebih luas dalam kebebasan berpersatuan, pengukuhan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta peluang menguruskan kewangan dan sumbangan pelajar secara mandiri,” katanya.

Beliau berkata UMT komited memastikan setiap ruang yang disediakan dalam kerangka AUKU dimanfaatkan sepenuhnya demi melahirkan graduan yang berilmu, beretika dan profesional untuk kecemerlangan negara.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan