KUCHING, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan komited memperkasakan wanita di Sarawak melalui pelbagai inisiatif merangkumi ekonomi, kepimpinan dan kesihatan, dengan hampir RM4 juta diperuntukkan khusus bagi menyokong agenda keusahawanan wanita negeri ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata sebagai contoh, pihaknya telah melaksanakan program Wanita Dinamik bagi membantu golongan berkenaan menjana pendapatan dan berdikari.
“Sejak 2021, sebanyak 21,274 wanita di seluruh negara telah dibantu menerusi program ini dan di Sarawak sahaja hampir 8,000 wanita menerima manfaat.
“Setiap peserta diberi geran RM500 untuk perusahaan kecil masing-masing,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di sini hari ini.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa menjadi platform penting untuk menghargai pencapaian kaum itu, di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang pada masa hadapan.
Dalam memperkukuh kepimpinan wanita, beliau berkata program PERANTIS dijalankan melibatkan 100 wanita di seluruh negara, termasuk 11 dari Sarawak, dengan setiap peserta menerima geran RM50,000 untuk melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreatif dan keusahawanan.
Selain itu, Nancy berkata menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sebanyak 32,000 wanita disasarkan menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA tahun ini, dengan Kampung Santubong dipilih sebagai lokasi perintis di Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial