AM > BERITA

Kerajaan Timbang Semua Aspek Sebelum Putus Isu UEC

28/01/2026 09:00 PM

GEORGE TOWN, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan akan menilai secara menyeluruh semua aspek berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) selaras dengan kepentingan orang ramai dan sistem pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry berkata perbezaan pandangan daripada pelbagai pihak mengenai isu itu adalah perkara biasa namun kerajaan akan memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira semua aspek demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata kerajaan juga tidak memandang ringan kebimbangan berhubung keperluan mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah dalam sekolah yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan.

“Isu itu bukan hanya melibatkan UEC, malah merangkumi semua aliran pendidikan bukan kebangsaan termasuk sekolah antarabangsa dan sekolah agama. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berulang kali menegaskan keperluan mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah untuk semua aliran pendidikan bukan kebangsaan.

“Ini melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan serta UEC, apa yang kerajaan cuba selesaikan adalah struktur keseluruhan sistem pendidikan negara,” katanya di sini hari ini.

Zambry berkata demikian selepas menghadiri Program Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI Zon Utara di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Dr Azlinda Azman.

Beliau berkata isu pengiktirafan UEC tidak boleh dilihat secara terasing kerana ia melibatkan keseluruhan sistem pendidikan yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan.

“Perbincangan telah diadakan bersama pelbagai pihak termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta pihak berkaitan UEC bagi mengelakkan sebarang percanggahan dasar.

“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek juga telah mengadakan sesi libat urus dengan badan-badan berkepentingan dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke peringkat seterusnya untuk diputuskan secara bersama,” katanya.

Zambry berkata kerajaan akan membuat keputusan setelah mengambil kira semua aspek demi kepentingan orang ramai.

Sementara itu, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh kerjasama strategik antara universiti bersama industri dengan menekankan pelaksanaan berasaskan kerja.

Beliau berkata kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan syarikat tempatan berteknologi tinggi Vitrox menjadi contoh terbaik pelaksanaan konsep berkenaan apabila industri bukan sahaja menyediakan peluang latihan, malah mewujudkan kolej dalam premis industri mereka sendiri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan