AM > BERITA

Thaipusam: Rughanesan Agih 700 Vel Percuma Kepada Penganut Kurang Berkemampuan

29/01/2026 01:17 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 29 Jan (Bernama) -- Bermula dengan niat kecil untuk menghadiahkan vel kepada pelanggan, Theertana Mahligai kini menerima kira-kira 700 permintaan vel percuma dari seluruh negeri menjelang sambutan Thaipusam.

Pemilik bersama Theertana Mahligai R. Rughanesan, 42, berkata inisiatif itu lahir daripada keprihatinannya terhadap penganut yang mungkin tidak mampu membeli vel, peralatan penting untuk sembahyang sempena perayaan itu.

“Apabila saya dapati harga vel agak mahal, saya fikir lebih baik saya cari jalan untuk mendapatkannya pada kos lebih rendah supaya saya boleh berikan secara percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Old Broadway Theater, Jalan Segget di sini.

Vel ialah tombak suci dewa Murugan yang melambangkan keberanian dan kuasa rohani, digunakan oleh penganut untuk sembahyang di rumah atau kuil serta sebagai sebahagian daripada upacara pengabdian sempena Thaipusam.

Rughanesan, anak sulung daripada tiga beradik berkata vel yang diagihkan diperbuat daripada bahan tembaga emas bermutu tinggi dan ditempah khas dari India, dengan kos keseluruhan termasuk import kira-kira RM34,000.

“Pada mulanya, saya tempah 300 unit vel untuk pelanggan tempatan di Johor, namun stok awal habis dalam masa singkat. Saya terpaksa menempah tambahan 400 unit bagi memenuhi permintaan dari seluruh negeri, jauh melebihi sasaran asal.

“Ada keluarga yang banyak ahli dan harga vel mengikut saiz boleh menjadi agak tinggi. Jika saya mampu membantu walaupun sedikit, ia sudah memadai dan memberi peluang kepada lebih banyak penganut memilikinya,” katanya.

Harga pasaran vel berbeza mengikut saiz iaitu RM30 hingga RM40 untuk saiz lima inci, RM50 hingga RM60 (tujuh inci) manakala saiz 10 inci dijual pada harga bawah RM100.

Sambutan diterima jauh melebihi jangkaan, dengan permintaan dari Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Hampir 700 unit vel telah diagihkan kepada penerima di seluruh negeri, dengan kos penghantaran ditanggung oleh pihaknya manakala sebarang sumbangan yang diterima daripada penerima adalah mengikut keikhlasan individu dan disalurkan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan.

Rughanesan berkata sumbangan itu akan digunakan untuk menyediakan minuman berasaskan yogurt tradisional India dikenali sebagai Mor, yang akan diagihkan secara percuma kepada kira-kira 1,500 penganut di Kuil Arulmigu Thandayuthapani, Wadi Hana pada hari kemuncak perayaan.

“Kami jangka menyediakan sekitar 250 hingga 300 liter minuman yogurt ini. Jika sumbangan yang diterima ini tidak mencukupi, kami akan tambah menggunakan dana sendiri,” katanya.

Rughanesan, yang berasal dari Ipoh, Perak berkata pemberian vel percuma itu antara yang pertama seumpamanya di negara ini dan pengalaman menerima permintaan daripada warga emas serta individu kurang berkemampuan memberi kesan mendalam kepadanya.

“Ini kali pertama saya lakukan dan saya sendiri tidak sangka ia akan berkembang sebesar ini. Jika diberi kemampuan, saya mahu meneruskan inisiatif ini pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Seorang daripada ahli keluarga penerima vel, V. Shanti, 39, berkata beliau amat gembira dan bersyukur dengan inisiatif Rughanesan, yang disifatkannya memberi makna besar menjelang Thaipusam.

“Ibu saya begitu teruja apabila menerima vel percuma beberapa hari lepas. Bagi saya, sukar untuk menemui pihak yang sanggup melakukan usaha seperti ini demi membantu masyarakat,” katanya.

Seorang lagi penerima, S. Anand, 45, dari Kuala Lumpur berkata inisiatif itu memberi makna besar kepada para penganut menjelang Thaipusam, terutama apabila usaha seumpamanya dipercayai tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan