AM > BERITA

Lebih 84,000 Kes Harta Pusaka Kecil Bernilai RM19 Bilion Berjaya Diselesai Tahun Lepas

29/01/2026 12:12 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sebanyak 84,384 kes harta pusaka kecil dengan nilai keseluruhan mencecah RM19.01 bilion berjaya diselesaikan sepanjang 2025, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam menguruskan pembahagian harta meskipun masih terdapat baki 46,707 kes yang belum selesai sehingga 31 Dis tahun lepas.

Syed Ibrahim berkata kementerian melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) kini menyasarkan untuk menyelesaikan sepenuhnya baki tunggakan itu menjelang 2028.

“Dalam pada kita belum selesai sepenuhnya, banyak juga kes yang berjaya diselesaikan. Secara dasarnya JKPTG menyasarkan tunggakan kes harta pusaka dapat dikurangkan menjelang dua tahun akan datang, iaitu 2028, dengan syarat tiada lagi masalah ataupun pertikaian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu jumlah kes harta pusaka kecil yang belum selesai, punca kelewatan dan sasaran tempoh masa untuk mengurangkan tunggakan itu.

Syed Ibrahim berkata bagi permohonan yang lengkap dan tidak mempunyai pertikaian, kementerian menetapkan tempoh penyelesaian standard dalam masa empat bulan daripada tarikh permohonan dibuat.

Beliau bagaimanapun mengakui isu berkaitan sikap dan kerjasama waris tetap menjadi punca utama yang melambatkan proses tuntutan harta berkenaan.

“Kelewatan tindakan waris untuk membuat tuntutan atas faktor kesibukan sehingga ada kematian berlapis menjadikan pembahagian harta pusaka bertambah rumit.

“Selain itu, perbalahan dan ketiadaan kesepakatan dalam kalangan waris tentang siapa yang patut mewarisi atau menguruskan harta si mati turut menjadi penghalang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan masalah dokumentasi yang tidak lengkap, kurang pengetahuan mengenai proses permohonan serta keengganan waris untuk hadir dalam perbicaraan atau kesukaran mengesan waris-waris lain yang layak juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan