AM > BERITA

Virus Nipah: KKM Laksana Saringan Bersasar Ke Atas Pengembara Dari Negara Berisiko Tinggi

29/01/2026 01:09 PM

BANGI, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan bersasar ke atas pengembara dari negara berisiko tinggi yang tiba di Malaysia, khususnya India dan Bangladesh sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mencegah penularan virus Nipah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dilaksanakan di semua pintu masuk antarabangsa negara, dengan sistem pengimbas suhu badan sentiasa diaktifkan bagi mengesan sebarang petunjuk awal seperti demam dalam kalangan pengembara.

“Kami beri tumpuan kepada pelancong yang datang, khususnya dari India dan Bangladesh, yang (dari negara) lain pun kami tak ambil ringan dan mustahaknya saringan bersasar itu telah kami mulakan. 

“Tiada laluan khas untuk mereka, andainya ada indikator untuk demam dan sebagainya, kemudian kami akan panggil mereka. Kami berjaga-jaga tapi saringan masih dijalankan di pintu masuk,” katanya selepas Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung RHB-IJN di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB (RHB) Datuk Mohd Rashid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib.

Dzulkefly berkata pendekatan itu selaras dengan amalan kebanyakan negara ketika ini, dengan langkah saringan disesuaikan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Beliau berkata KKM sentiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan langkah-langkah kawalan yang diambil adalah bersesuaian dan selari dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dzulkefly ketika mengulas mengenai Unit Bergerak RHB-IJN berkata inisiatif itu adalah kerjasama antara RHB dan IJN yang bertujuan memberi perkhidmatan saringan awal penyakit jantung kepada masyarakat.

Beliau berkata melalui kolaborasi itu, RHB membekalkan unit penggerak utama Volvo baharu yang lebih berkuasa dan selamat manakala IJN pula menyediakan unit saringan yang dilengkapi peralatan diagnostik jantung yang canggih.

“Apabila kedua-dua elemen ini disatukan, ia menjadi Unit Bergerak RHB-IJN yang membawa teknologi klinikal yang canggih terus ke pintu rumah rakyat. Kemudahan elektrokardiogram (ECG) dan ekokardiografi (ECHO) kini boleh diakses secara percuma oleh masyarakat luar bandar yang mungkin sukar untuk ke hospital pakar,” katanya.

Beliau berkata di bawah kerjasama strategik bagi tempoh tiga tahun, inisiatif itu akan menyaksikan Unit Bergerak RHB-IJN akan beroperasi di sekurang-kurangnya 12 lokasi setahun di seluruh negara dan  menyasarkan impak manfaat kepada lebih 4,000 orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan