AM > BERITA

Peruntukan RM254 Juta Untuk Koperasi Tertinggi Dalam Sejarah - Steven Sim

29/01/2026 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Peruntukan berjumlah RM254 juta bagi melaksanakan 28 program pembangunan koperasi tahun ini merupakan yang tertinggi pernah disalurkan sejak gerakan koperasi ditubuhkan di negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Beliau berkata peruntukan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 167 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengangkat koperasi sebagai pemacu utama ekonomi penduduk.

“Dana ini akan disalurkan dalam bentuk geran dan pembiayaan bagi memastikan gerakan koperasi terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif strategik sepanjang tahun 2026,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Mengulas lanjut mengenai pecahan dana tersebut, Sim berkata sebanyak RM226 juta akan disalurkan melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM, merangkumi lapan program khusus bagi menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan, serta meningkatkan daya saing koperasi di pasaran.

Sementara itu, baki RM27.9 juta diperuntukkan dalam bentuk geran melibatkan 20 program di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta Bajet Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Tumpuan geran ini meliputi pendigitalan operasi, pengadaptasian teknologi hijau, pengukuhan keupayaan eksport serta bantuan pemulihan perniagaan.

“Secara keseluruhan, peruntukan ini menzahirkan iltizam berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkukuh gerakan koperasi sebagai teras strategik pembangunan sosioekonomi negara, selaras dengan aspirasi RMK13,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan