KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sebagai tanda penghargaan kepada pendeposit Simpan SSPN, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan hadiah lumayan bernilai hampir RM1.4 juta menerusi Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kempen cabutan yang bermula sejak 1 Jan itu menawarkan hadiah kepada 954 orang pemenang, merangkumi tiga kategori cabutan istimewa iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 (kategori tahunan), Cabutan WOW! Plus Siri serta Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!.
“Buat julung kalinya, PTPTN turut memperkenalkan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! bagi menarik minat penyertaan generasi muda. Cabutan ini terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang berumur antara 16 hingga 29 tahun yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
“Pendeposit juga hendaklah membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN dalam tempoh kempen untuk menyertai cabutan ini,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 di sini hari ini.
Norliza berkata kempen itu bukan sahaja menggalakkan budaya menabung tetapi memberi peluang kepada semua pendeposit menyertai Cabutan Simpan SSPN 2026 yang berlangsung sepanjang tahun.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 menawarkan hadiah utama Honda CR-V 1.5L E, diikuti Perodua Ativa 1.0L Turbo AV (dua pemenang), wang tunai RM30,000 (tiga pemenang) dan sagu hati RM1,000 kepada 250 pemenang.
“Bagi Kategori Cabutan WOW! Plus Siri, hadiah ditawarkan ialah wang tunai RM20,000 (seorang pemenang), RM15,000 (dua pemenang), RM10,000 (tiga pemenang) serta sagu hati RM500 kepada 50 pemenang bagi setiap siri.
“Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! pula menawarkan hadiah Yamaha NVX 155 (seorang pemenang), iPhone 17 Pro (empat pemenang), DJI Osmo Pocket 3 Creator Combo (10 pemenang) serta sagu hati RM500 kepada 250 pemenang bagi setiap siri,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 diadakan bagi menghargai pendeposit setia sedia ada yang telah membuka akaun sehingga 31 Dis 2025 dan membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
“Cabutan WOW! Plus Siri pula terbuka kepada pendeposit baharu dan sedia ada yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan sepanjang tempoh kempen,” katanya.
Untuk menyertai kempen itu, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau menambah simpanan dalam tempoh kempen dan setiap simpanan bersih RM50 termasuk simpanan dan takaful melayakkan lima cabutan secara automatik.
“Pendeposit yang membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN, potongan gaji atau debit terus akan menikmati bilangan cabutan berganda iaitu 10 cabutan, sekali gus memberi lebih banyak peluang untuk menang,” katanya.
Pada majlis sama, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Cabutan WOW! Tahunan dan Cabutan Siri WOW! Superheroes.
Pesara guru Umi Kalsum Abd Razak, 56, pemenang Cabutan WOW! Tahunan kategori Platinum yang membawa pulang hadiah utama Mercedes-Benz A250 4MATIC AMG Line berkata beliau menyertai Simpan SSPN Plus sejak 2018 untuk keenam-enam anaknya kerana pelbagai manfaat yang ditawarkan.
“Menabung dengan Simpan SSPN bukan sekadar berpeluang menyertai cabutan hadiah, malah turut menawarkan faedah seperti pelepasan taksiran cukai,” katanya yang menerima panggilan memaklumkan kemenangan itu pada Selasa lepas.
Suhaida Raeze, 36, pemenang utama Cabutan Siri WOW Superheroes yang membawa pulang wang tunai RM30,000 berkata kemenangan itu amat tidak disangka-sangka memandangkan beliau baru sahaja membuka akaun Simpan SSPN Plus untuk dua orang anak perempuannya pada pertengahan tahun lepas.
“Saya bersyukur kerana tidak menyangka dengan hanya menabung RM30 sebulan bagi setiap anak, saya berpeluang memenangi hadiah ini. Alhamdulillah,” katanya.
Evita Ang Yen Yen, 30, dari Bau, Sarawak, pemenang Cabutan WOW! Tahunan kategori Gold yang membawa pulang Toyota Vios 1.5G AT berkata beliau membuka akaun Simpan SSPN Prime untuk dirinya sendiri pada 2017.
“Selepas mula bekerja, saya membuat simpanan secara konsisten. Saya memilih akaun ini kerana dividennya yang tinggi serta pelepasan taksiran cukai,” katanya, sambil menambah beliau sama sekali tidak menyangka akan memenangi sebuah kereta, yang sememangnya menjadi antara faktor utama beliau menabung.
Layari www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial