AM > BERITA

150 Ahli Parlimen Selesai Bahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja

29/01/2026 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Seramai 150 Ahli Parlimen selesai membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat yang bermula sejak 20 Jan lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini berkata sesi jawapan oleh menteri berhubung perkara yang dibangkitkan ketika perbahasan dijadualkan bermula pada 4 hingga 10 Feb ini.

Beliau berkata sidang Dewan Rakyat tidak akan berlangsung pada Isnin dan Selasa depan bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam.

Pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja hari ini, inisiatif Kerajaan MADANI yang melancarkan Dashboard Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen.

Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berkata dashboard itu merupakan medium terbaik dan penting bagi pemantauan kemajuan pelaksanaan perkara yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.

“Ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk mengetahui setiap perkembangan mengenai perjanjian ini secara terbuka sekali gus memastikan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Dashboard MA63 yang dilancarkan secara rasmi semalam, bertujuan menyediakan akses maklumat sahih kepada orang awam mengenai status 29 tuntutan utama di bawah perjanjian tersebut, sekali gus mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau berbaur bias politik.

Setakat ini, sebanyak 13 daripada 29 perkara utama telah berjaya diselesaikan dengan sembilan daripadanya dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, manakala 16 lagi perkara masih dalam peringkat pemantauan dan perbincangan.

Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang turut menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Dashboard MA63 menekankan bahawa biarpun hak-hak wilayah perlu terus dihormati, kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara secara bersama perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula berkata agenda memperjuangkan tuntutan MA63 perlu dibuat dengan berhemah dan berhati-hati agar tidak menimbulkan ketegangan dalam negara.

“Setiap pertuturan hendaklah berhati-hati sebagaimana titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya tidak terlihat seperti menghasut sehingga mewujudkan ketegangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan