AM > BERITA

NRES Tidak Kompromi Rasuah, Sedia Beri Kerjasama Kepada SPRM - Arthur

29/01/2026 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedia memberikan komitmen penuh bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Menteri berkenaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kementerian mengambil maklum laporan penahanan dua pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar oleh SPRM dan menegaskan bahawa NRES tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau amalan rasuah yang melibatkan mana-mana petugas di bawah kementerian itu.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian (Datuk Dr Ching Thoo Kim ) untuk memastikan segala fungsi dan operasi harian JAS berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dan pemantauan alam sekitar tetap diutamakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arthur turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa dan NRES akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dari semasa ke semasa.

“NRES akan mengambil tindakan susulan pada peringkat dalaman selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa SPRM telah menahan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS untuk siasatan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan