AM > BERITA

MAB Kemuka 34 Usul Perkasa Komuniti Cacat Penglihatan

29/01/2026 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Sebanyak 34 usul bagi memperkasakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan termasuk keperluan berkaitan kebolehcapaian maklumat, pendidikan, peluang pekerjaan serta penggunaan teknologi, dikemukakan Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) untuk perhatian dan penelitian kerajaan. 

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan dalam sesi dialog beliau bersama dengan persatuan berkenaan hari ini. 

“Alhamdulillah, saya dapat menghadiri sesi bersama MAB petang tadi. Perjumpaan berlangsung dalam suasana yang amat terbuka dan penuh dengan perkongsian bernas.

“Banyak pandangan, pengalaman serta cadangan konstruktif diketengahkan, mencerminkan keprihatinan MAB terhadap isu kebolehcapaian, keterangkuman serta masa depan komuniti orang cacat penglihatan di negara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Fahmi berkata dalam pertemuan itu, antara perkara yang ditekankan ialah keperluan agar penyampaian maklumat oleh media menjadi lebih menyeluruh dengan mengambil kira keperluan golongan cacat penglihatan, khususnya melalui penggunaan elemen audio yang lebih konsisten dan berkualiti. 

Beliau berkata perbincangan itu turut menyentuh potensi besar golongan berkenaan dalam industri kreatif yang wajar diteroka dan diperkasakan melalui sokongan dasar, latihan serta peluang yang adil.

“Sesi ini membuka ruang dialog penting, sekali gus mengingatkan kita bahawa pembangunan negara yang sebenar tidak akan meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan