AM > BERITA

Kenderaan Tidak Dibenarkan Masuk, Di Parkir Di Kawasan Empangan Sultan Azlan Shah

30/01/2026 11:19 AM

IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Semua jenis kenderaan tidak dibenarkan memasuki atau meletakkan kenderaan dalam kawasan Empangan Sultan Azlan Shah berkuat kuasa 1 Feb ini.

Malim Gunung Perhutanan (MGP) Cawangan Perak dalam kenyataan memaklumkan arahan tersebut selaras dengan syarat yang dikeluarkan Lembaga Air Perak (LAP) merujuk kepada aktiviti pendakian ke Gunung Korbu dan Gunung Gayong dalam Hutan Simpan Kekal Hulu Kinta, yang perlu melalui empangan berkenaan terlebih dahulu.

"Hanya kenderaan yang bertujuan untuk menghantar dan mengambil peserta pendakian sahaja dibenarkan masuk ke kawasan itu.

"Kenderaan tersebut juga tidak dibenarkan menunggu atau diletakkan dalam tempoh yang lama dalam kawasan empangan," menurut kenyataan itu yang dimuat naik di laman Facebook.

Justeru, MGP Cawangan Perak menafikan sebarang keterlibatan pihaknya mahupun mana-mana pengusaha perkhidmatan kenderaan pengangkutan gunung dalam penetapan arahan tersebut.

MGP Cawangan Perak memaklumkan pihaknya sentiasa cakna terhadap sebarang perkara berbangkit susulan pelaksanaan arahan itu serta berharap isu tersebut tidak dipolemikkan oleh mana-mana pihak dan sebarang makluman terkini atau perubahan akan dimaklumkan kelak.

LAP di laman Facebook menerusi satu surat kebenaran bagi pendaki yang mahu melakukan aktiviti pendakian di Gunung Korbu dan Gunung Gayong memaklumkan hanya kenderaan porter sahaja dibenarkan memasuki kawasan empangan bagi menurunkan dan mengambil pendaki di pintu rimba.

LAP turut memaklumkan sebarang kenderaan para pendaki tidak dibenarkan memasuki dan meletakkan kenderaan dalam kawasan empangan berkenaan.

Kenderaan porter perlu dipandu dengan berhati-hati dan perlahan di sepanjang laluan kawasan empangan bagi mengelakkan berlaku kemalangan dengan lori pengangkut pasir dan Orang Asli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan