AM > BERITA

JPJ Cadang Tambah 500 Unit BWC, Perkukuh Tindakan Penguatkuasaan

30/01/2026 12:31 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang menambah 300 hingga 500 unit alat perakam badan (BWC) bagi memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan serta meningkatkan tahap ketelusan operasi pegawai di lapangan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata setakat ini JPJ mempunyai 100 unit BWC yang digunakan sepenuhnya oleh semua anggota penguat kuasa JPJ sejak November tahun lepas. 

“Kita akan tambah lagi pembekalan body-worn camera ini untuk kegunaan anggota kita di lapangan. 

“Kita dalam proses untuk membuat perolehan bagi pertambahan bekalan kamera ini, cadangan kita antara 300 ke 500 unit BWC,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ‘FH’ Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi.

Aedy Fadly berkata penggunaan BWC mendapat respons positif daripada anggota penguat kuasa JPJ di lapangan.

“Saya juga perlukan tiga empat bulan lagi (untuk dapat respons menyeluruh) tetapi maklum balas yang saya dapat ketika ini, memang BWC efektif,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pegawai penguat kuasa JPJ di seluruh negara menggunakan BWC bermula pada November tahun lepas bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.

Loke berkata bagi fasa pertama, 100 unit BWC akan digunakan pegawai penguat kuasa JPJ melibatkan ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata JPJ sedang giat melaksanakan usaha pendigitalan tindakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya secara menyeluruh dan efektif selaras perkembangan pesat teknologi masa kini.

Katanya JPJ mengkaji seluruh ekosistem penguatkuasaan termasuk pengintegrasian data serta penggunaan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), yang membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan tanpa perlu memberhentikan kenderaan di jalan raya.

“Kita ingin melihat keseluruhan ekosistem (kerana) kita nak jadikan JPJ sebagai satu agensi yang memulakan penguatkuasaan melalui digital ini. Jadi kita tengah teliti perkara tersebut dan kita akan laksanakan secara berperingkat," katanya. 

Sebelum ini, Loke berkata JPJ perlu beralih kepada pendekatan baharu dalam pelaksanaan sekatan jalan raya bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Beliau berkata kaedah sekatan jalan raya secara fizikal yang dilaksanakan ketika ini sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, khususnya apabila lorong jalan dikecilkan kepada satu atau dua lorong, sekali gus menyebabkan gangguan trafik dan masa menunggu yang panjang.

Loke berkata satu paradigma baharu yang boleh dilaksanakan adalah berteraskan pengintegrasian data serta penggunaan teknologi ANPR, yang membolehkan pemeriksaan kenderaan dijalankan tanpa perlu memberhentikan kenderaan di jalan raya.

Sistem ANPR adalah mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan