AM > BERITA

Tarif Elektrik Baharu Sabah, Labuan Berkuat Kuasa 1 Feb

31/01/2026 09:53 PM

KOTA KINABALU, 31 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan tarif elektrik baharu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula esok, dengan kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.

Berdasarkan makluman grafik daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), sebanyak 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik hingga 600kWj sebulan, akan mengalami kenaikan bil minimum antara RM0 hingga RM27, bergantung kepada jumlah penggunaan.

Bagi pengguna komersial kecil, blok penggunaan elektrik yang dilindungi diteruskan hingga 500 kWj sebulan, dengan kenaikan  bil minimum dihadkan antara RM0 hingga RM24, termasuk bagi kedai runcit dan perniagaan kecil.

Selain itu, pelbagai bentuk rebat dan diskaun disediakan bagi mengurangkan impak pelaksanaan tarif baharu termasuk rebat RM40 sebulan kepada Ketua Isi Rumah Miskin Tegar melalui sistem e-Kasih.

Sabah Electricity turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada rumah kebajikan, rumah ibadat dan institusi pendidikan berdaftar, serta diskaun 20 peratus melalui mekanisme Off-Peak Tariff Rider (OPTR) kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah yang menggunakan elektrik di luar waktu puncak.

Dalam usaha menyokong sektor strategik, diskaun baharu sebanyak 10 peratus turut diberikan kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan bagi menjamin kestabilan rantaian bekalan makanan.

Pengguna juga digalakkan menyertai Program Cekap Tenaga dengan mengamalkan penggunaan tenaga lebih berhemat bagi mengurangkan kesan kenaikan bil serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu.

Maklumat terperinci mengenai jadual tarif baharu dan anggaran bil bulanan boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi syarikat itu di www.sesb.com.my/tariff, termasuk penggunaan kalkulator bil elektrik yang disediakan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan