AM > BERITA

Kerjasama NGO, Swasta Model Terbaik Bina Masyarakat Berteraskan Nilai - Ahmad Zahid

01/02/2026 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan institusi lain ialah model terbaik dalam membina masyarakat berteraskan nilai serta kesejahteraan rohani, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau berkata dakwah dan pembangunan ummah bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama dengan semangat saling melengkapi.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada One World Muslimah, sebuah NGO dakwah yang dihormati di Malaysia. Kehadiran NGO seperti ini membuktikan bahawa dakwah tidak dimonopoli oleh sesiapa, tetapi dipikul bersama oleh mereka yang ikhlas berkhidmat.

"Kerjasama antara hotel, NGO dakwah dan penaja korporat pada hari ini ialah gambaran jelas kepada konsep ummah MADANI yang sebenar, ummah yang bergerak bersama, saling melengkapi dan tidak saling mencurigai," katanya ketika merasmikan Program Doa Dari Hati di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha membina masyarakat berteraskan nilai perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak boleh bergantung pada program sensasi semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen jangka panjang.

Beliau berkata pendekatan pembangunan masyarakat perlu mengambil kira kekuatan rohani selain aspek material, terutama ketika masyarakat berdepan dengan tekanan emosi dan cabaran kehidupan masa kini.

Beliau berkata perlu ada pengimbangan antara duniawi dengan ukhrawi dalam kehidupan seharian.

"Ilmu-ilmu yang disampaikan dalam program ini perlu kita hayati kerana ilmu itu tiada batas, seluas air di lautan. Sama ada kita seorang ahli politik, ahli perniagaan atau profesional, yang penting ialah keseimbangan antara duniawi dengan ukhrawi," katanya.

Program berkenaan menghimpunkan penceramah tempatan dan antarabangsa termasuk Ustaz Muhammad Assad dan Ustazah Dr Oki Setiana Dewi serta mendapat sokongan pelbagai pihak dalam usaha memperluas pengisian kerohanian kepada masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan