AM > BERITA

Ancaman Nipah: Kelantan Perketat Saringan Di Pintu Masuk

01/02/2026 02:25 PM

KOTA BHARU, 1 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk utama ke negeri ini sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan virus Nipah (NiV).

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata langkah berjaga-jaga itu dilaksanakan bagi mengesan sebarang risiko kemasukan kes virus berkenaan, khususnya melibatkan individu dari India.

Beliau berkata saringan dijalankan sejak seminggu lepas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga di Tanah Merah serta Pengkalan Kubor di Tumpat.

“Sebanyak 120 petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran dan jururawat ditempatkan di pintu masuk berkenaan bagi menjalankan saringan termasuk imbasan suhu badan.

“Individu yang dikenal pasti berisiko akan melalui proses temu bual serta saringan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Program Sihat Itu Saya Peringkat Negeri Kelantan di Gelanggang Tenis Padang Perdana, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata saringan turut dilaksanakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, khususnya membabitkan penumpang penerbangan terus dari Singapura ke Kota Bharu.

“Bagi penumpang dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur, saringan telah dilaksanakan oleh petugas Kementerian Kesihatan. Pada peringkat negeri, kita memberikan tumpuan kepada penerbangan antarabangsa secara terus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya merekodkan rampasan bernilai RM55,213 membabitkan kosmetik tidak bernotifikasi di Kelantan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata penjualan kosmetik tidak bernotifikasi didapati semakin berleluasa, terutama menjelang Aidilfitri, sedangkan produk berkenaan tidak dibenarkan dijual di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Kosmetik 1984.

“Sehubungan dengan itu, jabatan kesihatan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan bagi membanteras penjualan produk kosmetik tidak bernotifikasi supaya aktiviti itu dapat diminimumkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan India mengesahkan dua kes jangkitan virus Nipah di negeri West Bengal.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, virus Nipah merupakan penyakit zoonotik yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia, selain penularan melalui makanan tercemar dan sentuhan langsung antara individu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan