Oleh Mohd Azrin Muhammad
KUALA SELANGOR, 1 Feb (Bernama) -- Resipi snek tradisional pakora yang digunakan sejak lebih 20 tahun lepas terus menjadi pilihan utama penganut Hindu dan pengunjung yang hadir di Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini, sempena perayaan Thaipusam.
Pemilik Punjabi Sweets, Manpreet Singh, 35, berkata keenakan rasa dan keaslian resipi menjadi faktor utama gerainya sentiasa menjadi tumpuan pengunjung setiap tahun.
Beliau mampu meraih pendapatan melebihi RM20,000 hanya dengan menjual pakora serta lebih 20 jenis manisan tradisional sepanjang tiga hari sambutan perayaan itu.
“Kami tidak mempunyai kedai tetap, namun ayah saya telah mendapat keizinan untuk berniaga di tapak bazar ini setiap kali Thaipusam sejak 20 tahun lepas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pekarangan kuil.
Manpreet berkata sebahagian makanan disediakan lebih awal di rumah, manakala selebihnya digoreng di tapak jualan bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan yang masih panas dan segar.
Beliau percaya kedainya menjadi pilihan bukan disebabkan lokasi strategik semata-mata, sebaliknya kerana keenakan makanan yang dijualnya menepati cita rasa serta suasana perayaan.
“Resipi yang kami gunakan tidak pernah diubah dan itulah yang membuatkan pelanggan lama terus kembali setiap tahun,” katanya.
Manpreet yang berasal dari Klang berkata sambutan Thaipusam juga menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan pelbagai jenis manisan tradisional kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Pakora merupakan snek tradisional masyarakat India yang dihasilkan daripada sayur-sayuran, daging atau bahan lain yang disalut dengan adunan tepung sebelum digoreng.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, P. Sathiavani, 31, berkata beliau bersama keluarganya meneruskan legasi bapanya yang telah menjual manisan di kuil yang sama sejak 1997.
Antara manisan paling mendapat sambutan di gerainya ialah ladu, yang dihasilkan menggunakan resipi asli turun-temurun daripada bapanya sejak lebih 30 tahun.
“Setiap manisan mempunyai keistimewaan tersendiri, namun ladu kami sentiasa menjadi pilihan utama pelanggan sehingga kami boleh raih untung ribuan ringgit,” katanya.
Beliau berkata walaupun bukan peniaga sepenuh masa dan hanya berniaga setahun sekali sempena Thaipusam, gerainya tetap dipenuhi pelanggan yang ingin merasai ladu istimewa itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial