AM > BERITA

Penuntut UTHM Maut Kemalangan Di Muar, Empat Rakan Cedera

01/02/2026 07:38 PM

MUAR, 1 Feb (Bernama) -- Seorang penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Cawangan Pagoh maut, manakala empat rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Felda Moakil di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata nahas berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari apabila kereta jenis Honda Accord yang dinaiki kelima-lima mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa yang meninggal dunia, Mohd Amir Faizal Hasrolnizam, 21, berada di tempat penumpang belakang dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang lagi mangsa, Dameer Amir Mokhzani Aris, 21, dilaporkan mengalami kecederaan serius, manakala tiga lagi, iaitu Ameer Ikhwan Ahmad Nurul Lail, 21; Muhammad Aiman Musa, 21; dan Muhammad Hakimi Hisyamuddin, 21, cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Segamat.

Beliau berkata kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke UTHM Pagoh dari Labis, Segamat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) universiti itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan