AM > BERITA

Tiga Cadangan Pilihan Reka Bentuk Lif Bermotor Kuil Dihantar Kepada LWHPP

01/02/2026 08:09 PM

GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Syarikat yang menjalankan projek pembinaan lif bermotor atau people mover system di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga di sini telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata projek yang diumumkan tahun lepas itu bertujuan memudahkan pergerakan pengunjung, khususnya golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menaiki kuil itu.

“Berhubung perkembangan terkini projek pembinaan sebuah ‘people mover’ di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani, iaitu bagi memudahkan pergerakan golongan warga emas, OKU dan mereka memerlukan yang diumumkan pada tahun lepas.

“Syarikat berkaitan telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan dengan tiga cadangan pilihan reka bentuk dan hasil kajian dibentangkan kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) untuk pertimbangan lanjut,” katanya semasa berucap sempena sambutan Thaipusam 2026 di pekarangan kuil itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran, Pengerusi Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani K. Kumarathiraviam Kasinathan dan Pengerusi LWHPP RSN Rayer.

Pada sambutan Thaipusam tahun lepas, kerajaan negeri mengumumkan Hartasuma Sdn Bhd (Hartasuma), syarikat dilantik secara Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi projek kereta kabel Bukit Bendera menyatakan hasrat membangunkan lif bermotor di kuil itu.

Chow dilaporkan berkata projek bernilai RM4 hingga RM6 juta itu dijangka meningkatkan nilai inklusif kepada penganut Hindu ke kuil yang bersejarah dan terletak pada ketinggian lebih 100 meter itu.

Sementara itu, Chow mengumumkan sumbangan RM240,000 kepada Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani sempena kejayaan penganjuran perayaan Thaipusam di Pulau Pinang sejak 240 tahun lepas.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan komuniti Hindu terus diperkukuh melalui penyaluran geran tahunan berjumlah RM2 juta kepada LWHPP.

“Penyaluran geran tahunan ini sebagai komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan rumah ibadat, di samping memperkukuh pembangunan sosial, percambahan modal insan dan kesejahteraan komuniti Hindu di negeri ini,” katanya.

Lebih 1 juta penganut Hindu serta pelancong dari dalam dan luar negeri menyaksikan perarakan dua pedati iaitu pedati emas dan pedati perak ke kuil di sini sempena sambutan Thaipusam yang bermula semalam. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan