AM > BERITA

Skim Pembiayaan Teman TEKUN Salur RM25.17 Juta Di Sabah Tahun Lepas

02/02/2026 02:59 PM

MEMBAKUT, 2 Feb (Bernama) -- Skim Pembiayaan Teman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menyalurkan RM25.17 juta di Sabah tahun lepas melepasi sasaran asal sebanyak RM21.94 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata pencapaian itu membuktikan usahawan Sabah semakin yakin dan proaktif memanfaatkan kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan. 

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersama-sama TEKUN Nasional akan terus memastikan sokongan berterusan diberikan agar usahawan mikro dan kecil mampu berkembang serta berdaya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Usahawan TEMAN TEKUN di sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat nasional, pembiayaan TEMAN TEKUN telah merekodkan jumlah keseluruhan RM162.05 juta mengatasi sasaran RM155 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan skim pembiayaan TEKUN Nasional dalam merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat.

“Kerajaan komited untuk memastikan usahawan luar bandar dan komuniti setempat tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara. Fokus kita ialah membantu usahawan meningkatkan pendapatan, memperkukuh perniagaan serta membina masa depan lebih stabil,” katanya.

Berhubung program itu, Mohamad berkata penganjur turut menyediakan Booth Informasi TEKUN Nasional bagi memudahkan usahawan mendapatkan maklumat berkaitan skim pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan serta bimbingan secara terus daripada pegawai berkaitan.

“Program ini turut menampilkan Booth TikTok Shop dan Pemasaran Digital sebagai platform pendedahan kepada usahawan tempatan bagi memperluas pasaran produk secara dalam talian serta meningkatkan keupayaan pemasaran berasaskan teknologi digital.

“Pendigitalan perniagaan merupakan elemen penting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing usahawan. Inisiatif seperti pendedahan kepada platform e-dagang dan pemasaran digital mampu membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada produk tempatan,” katanya.

Mohamad berkata TEKUN Nasional Sabah akan terus mempergiat pelaksanaan program turun padang, inisiatif latihan keusahawanan dan sokongan pembiayaan bagi memastikan lebih ramai usahawan mampu meningkatkan pendapatan, memperluas pasaran serta membina perniagaan yang mampan serta berdaya tahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan