AM > BERITA

Kerja Rutin Dijalankan Di LTU Pakej 3B Dan 3C, Kurangkan Kesesakan Musim Perayaan - Nanta

02/02/2026 02:42 PM

GUA MUSANG, 2 Feb (Bernama) -- Kerja-kerja rutin termasuk pemotongan rumput dan penampalan lubang jalan di Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di sini sedang dilaksanakan sebagai langkah sementara bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas menjelang musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja-kerja itu dijalankan oleh Roadcare (M) Sdn Bhd di Jalan Persiaran Raya berhampiran Taman Wangi bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Beliau berkata langkah jangka pendek itu diambil sementara menunggu pelaksanaan penyelesaian jangka panjang oleh kerajaan, khususnya bagi menangani kesesakan hampir dua kilometer yang sering berlaku di laluan berkenaan ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

“Kita (Kementerian Kerja Raya) mengambil maklum mengenai kesesakan lalu lintas di kawasan ini dan secara sementara kita akan elokkan dahulu keadaan jalan sebelum meneliti keperluan peruntukan bagi tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek LTU Pakej 3B dan 3C di sini hari ini.

Bagi jangka panjang, Nanta berkata kerja-kerja penyelenggaraan secara turapan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya melalui kaedah sebut harga yang dijangka bermula pada Mac depan.

Beliau berkata kontraktor sebelum ini yang menjalankan projek berkenaan telah ditamatkan mengikut prosedur, selepas dikenal pasti memerlukan tambahan peruntukan kira-kira RM90 juta bagi menyiapkan sepenuhnya LTU Pakej 3B dan 3C.

“Kita telah mengemukakan permohonan tambahan peruntukan kepada Kementerian Ekonomi dan masih menunggu keputusan. Kita berharap ia dapat dipercepat supaya kontraktor baharu dapat dilantik dan projek ini disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pengguna Jalan Gua Musang-Kuala Lipis mendakwa projek LTU pakej 3BC dan 3D yang tidak siap menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di laluan terbabit khususnya ketika musim cuti sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan