AM > BERITA

Pasport Jonker Walk Raih Sambutan Hangat

02/02/2026 06:09 PM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 2 Feb (Bernama) -- 'Pasport' istimewa dikenali sebagai 'The Guardian Of Jonker Walk' mendapat sambutan memberangsangkan dengan lebih 4000 keping telah terjual sejak diperkenalkan pada Jun tahun lepas sempena ulang tahun ke-25 destinasi pelancongan ikonik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Datuk Gan Tian Loo berkata pasport itu bukan sahaja dilengkapi peta kawasan tersebut malah turut memaparkan maklumat dan sejarah premis perniagaan atau tarikan pelancongan lain di situ.

Beliau berkata pelancong berpeluang mengumpul cop (stamp) bagi premis yang dikunjungi sebagai kenangan serta membawa pulang cenderahati yang disediakan pemilik perniagaan terlibat.

"Pasport Jonker Walk berkenaan boleh dibeli pada harga RM5 dan setakat ini terdapat 10 pemain industri terlibat dalam kerjasama ini namun dijangka jumlah berkenaan akan terus meningkat pada fasa kedua pelaksanaan inisiatif ini.

"Pada mulanya memang kita sasarkan hanya untuk pelancong dari China kerana idea itu juga saya dapat ketika melancong ke republik itu tetapi sambutan daripada pelancong tempatan juga sangat menggalakkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pasport itu juga turut disasarkan untuk pelancong yang gemar mengumpul cop kerana setiap premis terlibat mempunyai corak atau bentuk menarik.

Katanya bagi fasa pertama, sebanyak 5,000 keping dicetak dan dijual di premis terlibat antaranya Bangunan Jawatankuasa Jonker Walk, Galeri Persababatan Malaysia-China, Jaya Mata Malaysia Knife Gallery, Malaqa Cultural House dan Baba House Melaka.

Gan berkata cetakan bagi fasa kedua akan dilakukan tidak lama lagi memandangkan sambutan menggalakkan khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Melaka 2026.

Beliau berkata insiatif tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan pelancong dalam kawasan Tapak Warisan Dunia itu malah memberikan nilai tambah pada pengalaman pengunjung ke Melaka selain turut membantu pemain industri terlibat menambah pendapatan.

Beliau berkata terdapat juga pelancong yang menjadikan pasport berkenaan sebagai cenderamata buat rakan-rakan dan saudara-mara sekali gus mempromosikan Melaka, premis perniagaan dan tarikan lain di Jonker Walk secara lebih meluas.

"Inisiatif 'The Guardian Of Jonker Walk' juga mendapat sokongan dan kerjasama daripada kerajaan negeri dan pihak swasta justeru membantu memacu sektor pelancongan serta ekonomi di kawasan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan