AM > BERITA

SD Guthrie Perkukuh Sokongan Pendidikan Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI

03/02/2026 02:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- SD Guthrie Berhad terus memperkukuh komitmen dalam pembangunan pendidikan komuniti ladang menerusi Program Sekolah Angkat MADANI, yang kini memberi manfaat kepada 3,699 pelajar dan 385 guru di 15 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Guthrie menerusi kenyataan memaklumkan sekolah berkenaan terletak di dalam serta berhampiran kawasan operasinya, dengan sokongan dilaksanakan melalui pendekatan holistik yang melangkaui pencapaian akademik semata-mata.

Menurut kenyataan itu, bagi pelajar di sekolah sekitar kawasan perladangan proses pembelajaran tidak hanya ditentukan oleh silibus dan jadual waktu tetapi turut dipengaruhi kualiti kemudahan, keselamatan persekitaran serta sokongan menyeluruh yang membolehkan potensi mereka digilap secara optimum.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Guthrie Shahrizan Aini Shamsul Khalil berkata pendidikan merupakan pemacu penting mobiliti sosial dan memerlukan pendekatan menyeluruh bagi membawa perubahan jangka panjang.

“Pendidikan boleh mengubah kehidupan. Di Guthrie, kami menekankan pendekatan holistik dalam menyokong sekolah dan komuniti di sekitar operasi kami supaya sumbangan yang diberikan mampu membawa perubahan yang bermakna bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan itu.

Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan yang menggalakkan kerjasama strategik antara sekolah, agensi awam dan sektor korporat bagi merapatkan jurang pendidikan, khususnya dalam kalangan komuniti yang memerlukan sokongan tambahan.

Menurut Guthrie sokongan yang disalurkan merangkumi pemodenan bilik darjah melalui penyediaan papan pintar, komputer riba, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bahan literasi dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memperluas akses pembelajaran digital kepada pelajar.

Usaha berkenaan membuka ruang kepada kaedah pembelajaran digital yang lebih interaktif dan inklusif.

Kenyataan itu memaklumkan antara inisiatif yang menunjukkan kesan ketara ialah pelaksanaan Program Genius Readers di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Tamil) Pulau Carey Timur, Selangor, yang menggalakkan amalan pembacaan harian secara konsisten.

Program itu membantu pelajar membina keyakinan diri, kefasihan serta minat membaca, sekali gus meletakkan asas kukuh ke arah pencapaian akademik yang lebih baik.

Sokongan Guthrie turut merangkumi penambahbaikan kemudahan asas sekolah yang sering menjadi faktor penting dalam keberkesanan pembelajaran.

Antaranya ialah kerja-kerja pendawaian semula elektrik, pembaikan pagar sekolah, penambahbaikan sistem saliran serta pengudaraan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif.

Di luar bilik darjah, syarikat itu turut menaik taraf kemudahan sukan seperti padang kriket dan gelanggang bola keranjang bagi memberi ruang kepada pelajar membangunkan potensi fizikal, membina keyakinan diri serta memupuk nilai kerjasama dan disiplin melalui aktiviti berpasukan.

Menurut Guthrie komitmen berterusan turut dizahirkan menerusi lawatan peribadi 13 anggota pengurusan kanan syarikat itu ke sekolah angkat di sembilan negeri sepanjang 2025, bagi memahami keperluan warga sekolah secara langsung.

Lawatan berkenaan juga bertujuan memastikan bantuan yang disalurkan bersifat bersasar dan berimpak tinggi, di samping memperkukuh hubungan jangka panjang antara syarikat dan komuniti setempat.

Guthrie berkata Program Sekolah Angkat MADANI turut mencerminkan peranan penting sektor swasta dalam melengkapi usaha kerajaan melalui sokongan secara langsung dan bersasar, khususnya dalam penyediaan sumber pembelajaran moden dan kemudahan asas yang menyokong pembangunan menyeluruh pelajar.

“Dengan meneruskan program ini, Guthrie kekal komited untuk menjalinkan hubungan rapat dengan sekolah angkat kami, di samping memenuhi keperluan yang sentiasa berubah dan memastikan pendidikan menjadi teras pelaburan masyarakat.

“Ini kerana apabila pembangunan pendidikan dikongsi bersama, impak positif berpanjangan dapat dicapai, melangkaui kecemerlangan dalam bilik darjah,” menurut kenyataan itu.

Antara sekolah yang menerima manfaat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Lavang, Sarawak; SJK  (Cina) Ladang Siliau, Negeri Sembilan; SK Jubli Intan, Johor; SK Abaka, Sabah dan SK Ladang Dublin, Kedah, melibatkan bantuan papan pintar, penambahbaikan kemudahan asas serta bahan pembelajaran berasaskan STEM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan