AM > BERITA

Budaya Tolak Rasuah, Salah Guna Kuasa Jadi Teras Kepimpinan ATM - Agong

04/02/2026 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seri Paduka Baginda bertitah kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan hanya bergantung pada aset dan teknologi, sebaliknya turut berteraskan nilai integriti.

“Integriti, ketelusan dan akauntabiliti ialah asas penting bagi memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.

“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan titah nasihat berkenan semasa menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Negara, di sini hari ini.

Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengingatkan kepemimpinan tertinggi ATM supaya sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan seiring dengan cabaran keselamatan semasa.

Seri Paduka Baginda juga menzahirkan keyakinan bahawa Malek Razak mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Malek Razak, yang sebelum ini Panglima Medan Barat Tentera Darat, dilantik sebagai PAT ke-24 berkuat kuasa pada 1 Feb lepas.

Beliau berkelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan daripada King’s College London dan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan