JELEBU, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan 99 projek membaik pulih cerun di seluruh negara melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM77.3 juta pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 90 projek merupakan kesinambungan dari tahun lepas manakala satu projek keutamaan pada tahun ini dan selebihnya pula merupakan projek kelulusan khas pembaikan cerun.
“Tahun ini kerajaan memperuntukkan RM260 juta bagi pelaksanaan kerja keselamatan cerun di kawasan berisiko tinggi. Ia akan diagihkan mengikut keperluan kritikal setiap lokasi, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap terdedah kepada kejadian cerun runtuh.
“Bencana alam seperti hujan lebat antara faktor menyumbang kepada kegagalan cerun, sekali gus memberi kesan kepada keselamatan dan kelancaran rangkaian jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penyerahan projek pembaikan cerun di laluan Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) Telapak Buruk, di sini hari ini.
Beliau berkata KKR sentiasa komited memastikan akses, mobiliti dan keselamatan rakyat melalui rangkaian jalan raya Persekutuan serta cerun yang selamat, selesa dan berkualiti selain pembangunan infrastruktur jalan raya, termasuk cerun sentiasa menjadi fokus utama KKR.
Dalam pada itu, Nanta berkata projek pembaikan cerun di laluan VHF dengan kos RM109 juta melibatkan 124 lokasi dengan 36 Arahan Kerja itu bagi memastikan Stesen Pemancar Telapak Buruk dapat beroperasi tanpa sebarang gangguan, memandangkan ia dikategorikan sebagai Sasaran Penting Keutamaan 1.
“Stesen pemancar itu memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) selain syarikat utiliti dan telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan jaringan dan utiliti berada pada tahap sifar gangguan melibatkan Negeri Sembilan serta sebahagian Selangor, Melaka dan Pahang,” katanya.
Beliau berkata projek itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak kontraktor jangka panjang yang bermula pada 24 Nov 2022 dan siap sepenuhnya pada 14 Okt tahun lepas sekali gus menyediakan infrastruktur yang selamat, selesa dan bertaraf dunia.
“Dengan pelaksanaan kontrak ini, kerja pembaikan cerun yang kritikal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan berbanding melalui proses perolehan biasa,” katanya dan menambah pihaknya menghadapi pelbagai cabaran ketika pelaksanaan projek termasuk cuaca dan topografi tapak.
Terdahulu, beliau berkata KKR telah meluluskan kerja berkala turapan di Zon Selatan sebanyak RM19.5 juta membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala bagi kerja berkala bukan turapan dengan kelulusan RM57.2 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial