KUALA NERUS, 5 Feb (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) bersama The School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London bagi memperkasa usaha pendigitalan, pemeliharaan dan penyelidikan manuskrip warisan Alam Melayu dan Islam.
Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata kolaborasi itu bukan sahaja membuka ruang kerjasama akademik rentas negara, malah memperluas akses global terhadap khazanah manuskrip melalui penggunaan teknologi digital yang sistematik dan lestari.
Beliau berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha memelihara dan mendigital koleksi manuskrip terpilih, di samping menggalakkan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang filologi, sejarah, tamadun Islam serta kajian Alam Melayu.
“Inisiatif ini turut menyokong pembangunan kapasiti akademik melalui pertukaran kepakaran, latihan teknikal serta kepimpinan penyelidikan bersama, sekali gus memperkukuh pemindahan ilmu antara institusi tempatan dan antarabangsa.
“Ia juga selari dengan Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2023-2030 yang menekankan kecemerlangan penyelidikan dan kolaborasi berimpak tinggi di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzli berkata kolaborasi strategik itu bakal menjadi pemangkin kepada pemerkasaan penyelidikan manuskrip di peringkat antarabangsa.
“Ia juga memberi sumbangan signifikan kepada pemeliharaan dan penyebaran warisan intelektual dunia Islam dan Alam Melayu secara mampan, ekslusif dan berimpak tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial