AM > BERITA

Kluster Tibi Di Felda Sungai Mas Terkawal, Aktiviti Harian Penduduk Berjalan Seperti Biasa

05/02/2026 02:49 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 5 Feb (Bernama) -- Situasi di Felda Sungai Mas, antara lokaliti yang dikesan dengan kluster Tuberkulosis (Tibi) di daerah berkenaan berada dalam keadaan terkawal dengan semua tindakan susulan dilaksanakan di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengurus Felda Sungai Mas Mohd Azhari Dohadi berkata aktiviti harian di kawasan berkenaan berjalan seperti biasa, dengan penduduk dinasihatkan supaya terus menjaga kebersihan diri serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan KKM.

Beliau berkata pihak KKM turut hadir ke Felda Sungai Mas bagi memberikan taklimat dan penjelasan kepada komuniti setempat, termasuk menasihatkan penduduk agar tidak panik kerana situasi berkenaan adalah terkawal.

“KKM telah memberi penerangan langkah saringan dijalankan sebagai pencegahan awal dan orang ramai tidak perlu panik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Azhari berkata pihaknya turut mengambil langkah awal bagi memastikan situasi kekal terkawal, antaranya dengan menyebarkan maklumat berkaitan penjagaan kebersihan kepada penduduk.

Langkah itu meliputi pemasangan poster peringatan, pengedaran video kesedaran melalui kumpulan WhatsApp komuniti serta penyiaran maklumat kesihatan menerusi skrin televisyen awam.

Selain itu, beliau berkata pihak Felda Sungai Mas turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan penganjuran aktiviti di tempat tertutup, selaras dengan nasihat KKM.

Felda Sungai Mas dihuni 697 peneroka melibatkan hampir 2,000 penduduk.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kluster berkenaan dikesan pada 25 Jan lepas, dengan 33 kes positif dikenal pasti hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb.

Dzulkefly berkata pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan secara agresif bagi membendung penularan kluster berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Azhari berkata beliau difahamkan saringan yang dijalankan di Felda Sungai Mas adalah sebahagian daripada prosedur biasa KKM sebelum diperluaskan kepada saringan kedua ke atas individu yang dikenal pasti berpotensi mempunyai kontak rapat.

Tuberkulosis atau batuk kering adalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara kepada kontak rapat.

Antara gejala penyakit Tibi ialah batuk berpanjangan, penurunan berat badan ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam serta batuk berdarah.

Terdahulu, tinjauan Bernama di kawasan berkenaan mendapati penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa manakala operasi perniagaan turut berjalan seperti kelaziman.

Rata-rata penduduk juga dilihat tidak menggunakan pelitup hidung dan mulut ketika berada di luar kawasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan