AM > BERITA

Pencuri Kabel Wajar Didenda Lebih Berat - Loke

05/02/2026 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Denda lebih berat wajar dikenakan terhadap pencuri kabel pengangkutan awam memandangkan tindakan itu bukan sekadar jenayah kecil tetapi suatu bentuk sabotaj ketenteraman awam, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan menyokong cadangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk meneliti pindaan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap kecurian kabel yang melibatkan fasiliti rel negara.

Menurut Loke setiap insiden kecurian kabel mendatangkan kerugian besar kepada operator pengangkutan awam dan kerajaan serta menjejaskan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kadang-kadang (pencuri) didenda RM1,000 atau RM2,000 sahaja, selepas itu mereka dilepaskan. Ini tidak menghantar mesej yang kuat (kepada orang ramai) sedangkan kesan kecurian kabel amat besar.

“Kecurian kabel ini satu tindakan mensabotaj ketenteraman awam, bukan setakat jenayah kecurian sahaja. Setiap kali berlaku kecurian kabel, operasi terganggu dan kerugiannya amat besar,” katanya pada sidang media Pengenalan Penjejak Penjimatan My50 Dan Pendigitalan Pas Rapid Kota & Rapid Kembara di sini hari ini. 

Loke berkata kecurian kabel dipercayai didorong oleh nilai tinggi tembaga di pasaran, menyebabkan pencuri sanggup mengambil risiko melibatkan nyawa demi keuntungan.

Saifuddin Nasution pada Selasa berkata kerajaan akan meneliti keperluan meminda peruntukan undang-undang untuk meningkatkan hukuman terhadap kes kecurian kabel, khususnya membabitkan projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Media sebelum ini melaporkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengalami kerugian akibat kecurian kabel berjumlah RM20.6 juta sejak 2023, dengan peningkatan ketara kes bermula 2024.

Mengenai isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat, Loke berkata operasi bersepadu telah dipertingkatkan antaranya melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak tahun lepas.

“Memang kita kesan bahawa ada sebilangan pemandu kenderaan berat yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan kita mengambil serius perkara ini. Ini sesuatu yang sangat membahayakan kepada pengguna jalan raya,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata syarikat pengendali juga perlu mengambil tindakan atau merancang strategi bagi memastikan pemandu mereka bebas daripada dadah.

Beliau mengulas mengenai laporan 261 peman­du kenderaan berat didapati positif dadah sejak lima tahun lepas ketika pemeriksaan pihak berkuasa. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan