AM > BERITA

Bas Ekspres Terbabas Punca Kemalangan Tiga Kenderaan Di Lebuh Raya Plus

05/02/2026 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Rawang awal pagi tadi dipercayai berpunca daripada sebuah bas ekspres melanggar bahagian belakang sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata kejadian berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Alor Setar ke ibu negara itu yang dipandu di lorong kiri, melanggar sebuah treler sehingga menyebabkan kenderaan berat berkenaan terbabas ke lorong kanan.

“Keadaan itu menyebabkan sebuah lori yang berada di lorong kiri cuba mengelak bas terbabit sebelum melanggar belakang treler yang melintang di lorong tengah dan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa kejadian, bas ekspres dipandu lelaki berusia 39 tahun itu membawa 22 penumpang dan seorang pemandu simpanan. 

Ibrahim berkata kemalangan menyebabkan pemandu lori berusia 37 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

"Pemandu bas, pemandu treler, kelindan lori serta lima penumpang bas mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh. Penumpang yang tidak cedera dibawa ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS)  menggunakan bas gantian,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan