AM > BERITA

Dana Latihan RM10,000 Pacu Bakat Tempatan Sektor Semikonduktor Selangor

05/02/2026 04:34 PM

SHAH ALAM, 5 Feb (Bernama) -- Selangor kini mempergiat usaha melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang reka bentuk cip semikonduktor, sejajar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab reka bentuk cip bertaraf dunia dan mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pemasangan serta ujian semata-mata.

Usaha itu diterjemahkan menerusi pemberian subsidi latihan sehingga RM10,000 bagi setiap peserta yang menyasarkan pembangunan kemahiran dalam bidang bahagian hadapan semikonduktor, khususnya Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design) dan sistem terbenam, iaitu antara segmen bernilai tinggi dalam rantaian industri global.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata kerajaan negeri merangka tiga program utama iaitu Program Kecemerlangan Semikonduktor Kebangsaan (NSEP), Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP) dan Permulaan Cip sebagai asas kepada pembangunan Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia  di Puchong.

Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan perubahan strategi Selangor daripada sekadar menarik pelaburan kepada membina ekosistem berasaskan bakat tempatan yang mampan dan berdaya saing.

“Untuk menjadi hab serantau, Selangor bukan sahaja memerlukan infrastruktur dan kehadiran syarikat multinasional tetapi juga modal insan bertaraf dunia yang mampu menyokong aktiviti reka bentuk dan inovasi cip,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ng berkata program berkenaan dirangka bagi menampung jurang bakat dalam sektor kritikal, selain memastikan rakyat tempatan mendapat akses kepada kemahiran berimpak tinggi yang diperlukan industri semikonduktor global.

Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada usaha menarik pulang bakat Malaysia di luar negara bagi mempercepat pemindahan kepakaran serta memperkukuh ekosistem semikonduktor negeri secara mampan.

“Inisiatif ini adalah pelaburan langsung kepada rakyat. Bidang reka bentuk IC menawarkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dengan gaji permulaan yang lebih kompetitif serta prospek kerjaya jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, pemain industri berpandangan langkah kerajaan negeri itu tepat pada masanya dalam mendepani keperluan industri teknologi yang semakin berkembang pesat serta beralih kepada aplikasi bernilai tinggi.

Pengarah MAG Auto Garage Services Sdn Bhd Dr Azlina Ahmad berkata permintaan terhadap bakat dalam bidang reka bentuk IC dan sistem terbenam dijangka terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), pusat data dan kenderaan elektrik.

Beliau berkata semua sektor itu sangat bergantung kepada keupayaan reka bentuk dan integrasi sistem elektronik yang kompleks, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap jurutera tempatan yang mempunyai kemahiran khusus dan pendedahan industri.

“Program latihan berorientasikan industri seperti ini membantu merapatkan jurang antara kemahiran graduan tempatan dan keperluan sebenar industri, selain memastikan bakat yang dilahirkan benar-benar bersedia untuk diserap ke pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata inisiatif pembangunan bakat secara tersusun juga mampu menyokong pertumbuhan ekosistem semikonduktor tempatan dalam jangka panjang, termasuk memperkukuh rantaian nilai domestik serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi.

Sebelum ini, Ng berkata kerajaan negeri menyediakan sokongan sehingga RM10,000 seorang untuk membantu rakyat menguasai kemahiran semikonduktor dan bidang reka bentuk IC atau sistem terbenam secara percuma. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan