AM > BERITA

Eksport REE Malaysia Tidak Terhad Kepada Amerika Syarikat - NRES

05/02/2026 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Eksport unsur nadir bumi (REE) Malaysia tidak terhad kepada Amerika Syarikat (AS) sahaja walaupun terdapat Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata perjanjian tersebut tidak menetapkan sebarang komitmen eksklusif, kewajipan pembekalan atau keutamaan pasaran yang mengikat Malaysia untuk mengeksport REE kepada mana-mana negara tertentu.

“Kerajaan Malaysia juga ingin menegaskan bahawa REE tidak pernah ditawarkan sebagai konsesi atau balasan dalam mana-mana rundingan perdagangan atau tarif dengan Amerika Syarikat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata selaras dengan dasar semasa negara, Malaysia masih mengekalkan larangan eksport mentah REE bagi memastikan sumber strategik itu tidak dieksploitasi tanpa nilai tambah dan menggalakkan pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri dalam negara termasuk pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran produk domestik.

“Dasar ini digubal dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang negara, pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta keperluan memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara mampan dan bertanggungjawab,” katanya.

Menjawab celahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang membuka lagi lombong REE dalam masa terdekat, Arthur berkata industri REE di Malaysia masih berada pada peringkat awal memandangkan negara masih belum bersedia dari segi kepakaran dan teknologi untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber REE. 

Selain itu, beliau berkata negara tidak mempunyai loji pemprosesan bagi mengasingkan unsur REE bernilai tinggi daripada sumber tempatan, sekali gus melambatkan pembangunan industri itu.

“Di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita menetapkan dasar ke depan berkaitan industri REE. Namun, sebarang soal spesifik mengenai permit perlombongan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang menetapkan tapak-tapak yang dibenarkan untuk kerja-kerja perlombongan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Projek Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah Negara, Arthur berkata projek berkenaan sedang giat dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Melaka, Sabah dan Kelantan.

Beliau berkata projek di Kedah telah siap sepenuhnya pada tahun 2025, di Melaka sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun ini, manakala di Sabah dan Kelantan berada di fasa awal untuk pelaksanaan yang masing-masing dijangka siap pada 2028 dan 2029.

“Seterusnya, projek pemetaan di negeri-negeri lain akan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada kelulusan peruntukan dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Projek Pemetaan dan Penilaian Sumber Air Bawah Tanah Negara memfokuskan kepada penilaian potensi air bawah tanah serta mengenal pasti kawasan berpotensi sebagai medan telaga yang boleh dibangunkan bagi menangani kesan perubahan iklim global yang dijangka melanda negara pada masa akan datang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan