AM > BERITA

Penjenamaan Semula Hospital Pakar Pusrawi Perkukuh Perkhidmatan Kesihatan Patuh Syariah

05/02/2026 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur mencerminkan komitmen institusi itu dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti berteraskan nilai keihsanan, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkasakan kesejahteraan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata penjenamaan semula itu bukan sekadar melibatkan imej dan identiti korporat, tetapi merangkumi peningkatan infrastruktur, kemudahan moden, peralatan perubatan, kepakaran serta keseluruhan ekosistem institusi sebagai hospital pakar yang mesra ibadah, patuh syariah dan inklusif.

“Pusrawi merupakan jenama kesihatan yang telah lama dikenali serta diiktiraf, dan untuk membawa institusi itu ke tahap lebih tinggi memerlukan penjenamaan yang tersusun, strategi jelas serta ekosistem perkhidmatan yang kukuh.

“Usaha ini mencerminkan indikator ‘Rahmatan Lil Alamin’, iaitu pendekatan yang inklusif dan berteraskan nilai, selari dengan perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penjenamaan semula Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dan perasmian Jabatan Rawatan Kanser Azman Hashim (JRKAH) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pusrawi Heritage Sdn Bhd Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir serta Pengerusi Emeritus dan Penasihat Kehormat Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim yang juga Pengerusi Yayasan Azman Hashim.

Ditubuhkan pada 1984 di Wisma Baitulmal, Jalan Ipoh sebelum berpindah ke Jalan Tun Razak pada 2006 sehingga ke hari ini, Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur yang dahulu dikenali sebagai Hospital Pusrawi Sdn Bhd merupakan hospital swasta, anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, iaitu Pusrawi Holdings Heritage Sdn Bhd.

Mengenai JRKAH, Zulkifli berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan perkhidmatan yang selari dengan keperluan rawatan kanser masa kini.

Beliau berkata dengan kepakaran dan teknologi yang dimiliki, institusi kesihatan itu disaran lebih aktif mendekati masyarakat bagi meningkatkan kesedaran terhadap peningkatan penyakit kanser serta kepentingan pencegahan dan rawatan awal.

“Selain menjana pendapatan bagi kelangsungan operasi, Pusrawi juga perlu terus menunaikan tanggungjawab sosial melalui inisiatif meningkatkan kesedaran awam tentang penyakit dan rawatan kanser, selari dengan agenda Kerajaan MADANI yang mengangkat nilai membantu rakyat sebaik mungkin,” katanya.

JRKAH merupakan inisiatif strategik Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan kanser yang lebih komprehensif serta bersepadu, dan ditubuhkan hasil sumbangan  Yayasan Azman Hashim berjumlah RM5.8 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan