AM > BERITA

KL Wellness City Sasar Status Hab Pelancongan Perubatan Serantau 

05/02/2026 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) --  KL Wellness City (KLWC) bakal menjadi hab pelancongan perubatan dan kesejahteraan serantau, apabila pembangunan Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH) yang sudah 85 peratus dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.

Pengarah Eksekutif KLWC Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata hospital itu bakal dilengkapi, antara lain, helipad di atas bumbung untuk kemudahan memindahkan pesakit kritikal, sekali gus meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan dan perkhidmatan perubatan yang khusus.

Beliau berkata kemudahan helipad ini masih kurang dimanfaatkan dan hanya beberapa hospital di negara ini yang mempunyai kemudahan sebegini.

“Kemudahan itu juga boleh digunakan untuk operasi dron komersial yang diluluskan, seperti penghantaran ubat-ubatan atau bekalan perubatan penting, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata lokasinya yang strategik di Bukit Jalil, berdekatan Lapangan Terbang Subang dan KLIA, memudahkan urusan logistik untuk operasi kecemasan.

KLIH juga dijangka memberikan impak ekonomi yang signifikan dengan menarik kedatangan pesakit antarabangsa, selaras dengan strategi kerajaan untuk mengembangkan sektor pelancongan perubatan.

“Sejak awal, KLIH menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pesakit luar negara kerana kami berhasrat membawa masuk mata wang asing dan pendapatan berkaitan penjagaan kesihatan ke Malaysia.

“Apabila pesakit antarabangsa datang untuk mendapatkan rawatan perubatan, mereka juga menyumbang kepada hasil keseluruhan dan aktiviti ekonomi negara,” katanya.

Mengenai ekosistem KLWC, Vincent berkata pembangunan itu bukan sekadar sebuah hospital semata-mata, tetapi sebagai bandar perubatan bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan kesihatan, pembangunan hartanah dan pelancongan.

Selain kemudahan perubatan, KLWC juga berperanan sebagai bandar bersepadu yang mengutamakan gaya hidup sihat melalui pembangunan taman seluas 0.6 hektar dalam kawasan projek seluas 10.7 hektar.

Vincent berkata taman itu bakal menjadi pusat aktiviti komuniti, termasuk yoga, pilates, tarian baris dan taici, yang bertujuan mengetengahkan persekitaran yang sejahtera kepada penduduk dan pesakit.

KLWC juga telah menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa, termasuk Universiti Politeknik Hong Kong dan Universiti Newcastle, Australia, bagi menyokong penyelidikan serta latihan dalam bidang kejururawatan dan perubatan.

Terdahulu, bersempena dengan Tahun Baharu Cina, KLWC melancarkan inisiatif “Kongsi Cahaya”, yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Turut hadir Pengarah Urusan KLWC Datuk Dr Colin Lee. 

Pada majlis itu, KLWC turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada beberapa rumah kebajikan, termasuk Persatuan Kebajikan Rumah Kanak-Kanak Lighthouse, Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia dan Yayasan Sunbeams Home.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan