AM > BERITA

SIRIM Lancar Program Kesediaan ESG Perkukuh Kelestarian Industri Malaysia

05/02/2026 09:08 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- SIRIM Bhd hari ini melancarkan Jelajah Kesediaan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), Program Pensijilan Personel dan Khidmat Nasihat Laporan Kelestarian di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian MADANI untuk memperkukuh penerapan amalan ESG dalam kalangan industri Malaysia.

SIRIM dalam satu kenyataan berkata inisiatif itu selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan agenda Kerajaan MADANI bertujuan untuk memajukan pembangunan perindustrian mampan.

Selain itu ia juga bertujuan memperkukuh daya saing Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya dalam sektor pembuatan dan berkaitan, termasuk yang disepadukan ke dalam rantaian bekalan antarabangsa.

Menurut SIRIM, program tersebut menyediakan panduan teknikal, pembinaan kapasiti dan pensijilan kepada organisasi yang mengambil bahagian untuk menyepadukan ESG ke dalam operasi utama mereka.

“Sebagai rakan strategik industri, SIRIM merangka inisiatif ini untuk mengubah ESG daripada perkara pematuhan kepada pemacu pertumbuhan yang mampan, cekap dan menguntungkan, bermatlamat memperkasakan syarikat Malaysia untuk menerima guna ESG dan meningkatkan daya saing di pentas global," katanya.

SIRIM berkata program itu menangani cabaran industri yang biasa seperti kepakaran ESG dalaman terhad dan kos perundingan luaran tinggi.

Pendekatan berstruktur SIRIM menawarkan sokongan praktikal yang kos efektif, termasuk panduan tentang penyediaan laporan kelestarian selaras dengan piawaian Inisiatif Pelaporan Global (GRI), yang dapat meningkatkan kredibiliti dengan pelabur dan mengukuhkan perkongsian rantaian bekalan.

Menurut kenyataan itu, organisasi yang layak boleh memohon Program Geran ESG-NIMP, yang menyediakan 80 peratus pembiayaan kerajaan dengan 20 peratus sumbangan bersama syarikat.

"Geran ini disasarkan kepada PKS dan syarikat peringkat pertengahan, termasuk pengeksport dan firma dalam sektor pelepasan karbon tinggi, untuk melaksanakan amalan ESG dengan berkesan.

“Peserta akan mendapat manfaat daripada latihan dan pensijilan khusus untuk kakitangan ESG, serta sokongan nasihat untuk mencapai status formal untuk sedia mengamalkan ESG," katanya.

Pelancaran tersebut dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Dr Mohd Bakri Jali, mewakili Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin.

SIRIM Bhd, dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan beroperasi di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan agensi yang dipercayai dari segi kualiti, inovasi dan kemajuan teknologi yang menyokong pembangunan perindustrian negara lebih daripada lima dekad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan