AM > BERITA

LKIM Harap Kerajaan Wujud Kawalan Import Hasil Perikanan Untuk Lindung Pasaran Tempatan

06/02/2026 02:08 PM

JOHOR BAHRU, 6 Feb (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan dapat mewujudkan kawalan lebih tersusun terhadap kemasukan udang dan hasil perikanan import bagi melindungi pasaran tempatan serta memastikan kelangsungan pengusaha akuakultur negara.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata ketika ini LKIM tidak mempunyai kuasa khusus untuk mengawal urusan import dan eksport hasil perikanan, namun pihaknya merancang untuk membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi agar satu mekanisme kawalan dapat diwujudkan.

“Kemasukan udang import yang tidak dikawal boleh menjejaskan hasil udang tempatan, khususnya ternakan di bawah seliaan LKIM. Kita tidak ada peraturan khusus menghalang kemasukan itu tetapi satu langkah proaktif perlu diambil kerajaan secara kolektif agar perkara ini dapat diuruskan dengan lebih baik.

“Ini bukan sahaja melibatkan udang tetapi juga hasil ikan lain supaya pengusaha tempatan tidak terkesan akibat lambakan produk import,” katanya kepada Bernama selepas meninjau projek ternakan udang dalam tangki oleh Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA) di Kampung Sungai Danga, di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata kawalan import dan eksport memerlukan penglibatan pelbagai agensi berkaitan kerana LKIM bukan agensi pelaksana utama dalam urusan perdagangan antarabangsa hasil perikanan.

Dalam pada itu, beliau berkata LKIM kini giat menggalakkan penglibatan persatuan nelayan dalam sektor akuakultur dengan menyediakan bantuan modal, teknikal serta manfaat aset sedia ada.

“Kita ambil peluang menyewa aset dan menggalakkan penglibatan persatuan nelayan. Kita bantu mereka yang memerlukan bantuan kerana mahu nelayan bukan sekadar terlibat dalam aktiviti menangkap ikan, tetapi turut menjadi pemain industri ternakan dan perniagaan perikanan,” katanya.

Muhammad Faiz berkata langkah itu selaras dengan sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mencapai 40 peratus pengeluaran ikan negara daripada sumber akuakultur menjelang 2030.

“Kalau persatuan nelayan tidak ambil peluang ini, sektor akuakultur akan dikuasai sepenuhnya oleh syarikat swasta. Kita mahu satu sistem yang tersusun dan berstruktur termasuk penglibatan pemain swasta, tetapi dalam kerangka kawalan supaya tidak berlaku lambakan dan ketidakstabilan harga,” katanya.

LKIM merekodkan nilai pengeluaran akuakultur sebanyak 1,495 tan metrik bernilai RM37.77 juta pada 2023 dan 1,200 tan metrik bernilai RM23.67 juta pada 2024.

Sementara itu Pengurus Besar JOSFA Abdul Fatah Alkhairi Mustapa berkata projek ternakan udang dalam tangki itu bermula pada 1 Mac 2025 manakala kemasukan benih pada 8 Sept tahun sama melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi pembangunan infrastruktur.

“Sehingga Januari tahun ini, projek ini berjaya menuai sebanyak 20 tan udang dengan nilai jualan mencecah RM500,000, sekali gus membuktikan potensi akuakultur sebagai sumber pendapatan mampan kepada nelayan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan