AM > BERITA

DVS Lulus Import Daging Babi Dari Thailand Dan Brazil, Tampung Permintaan Tahun Baharu Cina

06/02/2026 02:17 PM

PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) meluluskan pengimportan daging babi dari Thailand dan Brazil untuk menampung keperluan bekalan di pasaran tempatan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan kerajaan sentiasa cakna terhadap kecukupan bekalan daging itu bagi menampung keperluan tempatan semasa musim perayaan tersebut.

"Sehubungan itu, pengimport tempatan boleh merujuk kepada laman sesawang rasmi DVS iaitu https://www.dvs.gov.my/ bagi mendapatkan senarai abatoir yang diluluskan di Brazil (3 abatoir) dan Thailand (4 abatoir) bagi tujuan pengimportan daging tersebut," menurut kenyataan itu hari ini.

KPKM memaklumkan semua daging khinzir yang diimport adalah tertakluk kepada pematuhan kawalan keselamatan makanan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan veterinar yang telah ditetapkan bagi memastikan rantaian bekalan makanan yang diimport kekal selamat serta mengurangkan risiko penularan penyakit dalam negara.

"Melalui pelaksanaan langkah strategik ini, kementerian kekal komited dalam memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara serta melindungi kepentingan pengguna secara berterusan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan