AM > BERITA

Tengku Muhammad Fauzi Terajui Markas Angkatan Bersama, Zahani Dilantik Ketua Eksekutif MiDAS

06/02/2026 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) --  Majlis serah terima tugas Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB) diadakan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Menurut Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan, Tengku Muhammad Fauzi yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat mengambil alih jawatan itu daripada Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin yang kini dilantik sebagai Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), berkuat kuasa pada 1 Jan lepas. 

Majlis berkenaan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan dihadiri oleh panglima-panglima perkhidmatan serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).  

“Pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Jan lepas, dan seterusnya telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jan lepas,” menurut kenyataan itu.

PAB berperanan menyelaras operasi dan eksais pada peringkat domestik dan antarabangsa bagi ketiga-tiga perkhidmatan dalam ATM.

Tengku Muhammad Fauzi yang dilahirkan pada 30 Jan 1970 di Kuala Terengganu, memulakan kerjaya ketenteraan dengan menyertai Maktab Tentera Diraja pada 1988 dan meneruskan latihan sebagai Pegawai Kadet di Officer Cadet School, Singapore Armed Forces Training Institute. 

Setelah tamat latihan, beliau ditauliahkan sebagai Pegawai dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 6 Jun 1990. 

Sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Panglima 10 Briged (Para), Panglima 3 Divisyen, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

“Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam misi pengaman antarabangsa, termasuk penugasan  di Bosnia dan Herzegovina di bawah NATO dan penglibatan aktif dalam pelbagai latihan bersama angkatan tentera luar negara. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih di Royal Military College (RMC) Duntroon, Australia. 

“Dari sudut pembangunan profesional dan akademik, beliau telah mengikuti berbagai kursus ketenteraan di United States Army Command and General Staff College di Fort Leavenworth, Indonesian National Army Staff and Command School serta Royal College of Defence Studies di United Kingdom, selain merupakan alumni  Harvard Business School,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan