AM > BERITA

Cadangan Naik Taraf FT03 Untuk Atasi Kesesakan Pandan–Kota Tinggi - Jimmy Puah

06/02/2026 08:53 PM

JOHOR BAHRU, 6 Feb (Bernama) -- Masalah kesesakan lalu lintas di laluan utama FT03 dari Pandan ke Kota Tinggi yang sering menjadi rungutan pengguna jalan raya dijangka dapat ditangani menerusi cadangan projek menaik taraf jalan dengan anggaran kos kira-kira RM300 juta.

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata beliau telah mengemukakan cadangan menaik taraf laluan berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor yang turut meliputi pembinaan pusingan U di depan Taman Dato Chellam di Puteri Wangsa.

Puah yang juga Naib Pengerusi PKR Johor berkata projek itu penting memandangkan FT03 merupakan satu-satunya laluan utama yang menghubungkan beberapa kawasan petempatan padat di Johor Bahru dengan Kota Tinggi.

“Kita akan membantu JKR Johor untuk membawa cadangan ini ke peringkat seterusnya, iaitu di JKR pusat. Hasrat kita ialah memastikan isu kesesakan dapat ditangani dan masa perjalanan yang sebelum ini boleh mencecah satu jam, mungkin dapat dikurangkan kepada kira-kira 30 minit,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang kes berkaitan jangkitan tuberkulosis daripada merebak ke daerah Johor Bahru yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

Beliau berkata sekiranya masalah berkenaan menular ke kawasan perumahan padat seperti flat Program Perumahan Rakyat (PPR), penyakit itu akan menjadi lebih sukar untuk dikawal.

“Felda mungkin tidak padat, tetapi jika (penyakit itu) masuk ke kawasan seperti PPR yang melibatkan kanak-kanak di tadika dan prasekolah, perkara ini perlu ditangani dengan sangat serius,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kluster tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi pada 25 Jan lepas dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan terhadap 804 kontak rapat setakat 4 Feb. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan