JASIN, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan kemasukan lebih banyak pelaburan berasaskan teknologi tinggi dari Jerman menerusi pembangunan kawasan industri baharu Taman Teknologi Jerman (GTP) di Bemban, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata projek itu yang dibangunkan oleh Teladan Bhd dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai hab industri strategik antara Johor dan Kuala Lumpur.
Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran galeri jualan GTP di sini hari ini, katanya pelancaran itu menandakan fasa pertama usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan kawasan perindustrian berkonsepkan teknologi khusus bagi menarik pelaburan asing berkualiti tinggi.
Menurutnya pembangunan taman teknologi itu bertujuan mewujudkan ekosistem pemindahan teknologi serta memperkukuh kehadiran industri berasaskan teknologi dari Eropah, khususnya Jerman.
“Kawasan ini disediakan bagi memastikan pembinaan zon teknologi dapat dilakukan supaya ia menjadi pusat pemindahan teknologi yang memberi nilai tambah kepada industri tempatan,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Zalina Zainol.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut merancang pengkhususan kawasan perindustrian di lokasi berbeza mengikut kekuatan teknologi negara tertentu bagi memastikan pembangunan industri yang lebih tersusun.
Bagaimanapun katanya taman teknologi itu tidak terhad kepada pelabur dari Jerman, sebaliknya terbuka kepada pelabur antarabangsa yang menawarkan teknologi maju dan berimpak tinggi.
Beliau berkata langkah berkenaan sejajar dengan usaha untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan utama di tengah-tengah koridor ekonomi selatan tanah air.
Terdahulu dalam ucapannya, Ab Rauf berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka mencapai RM48.9 bilion pada 2024, meningkat 4.4 peratus berbanding RM46.9 bilion pada 2023 manakala pelaburan yang diluluskan tahun lepas berjumlah RM8.18 bilion, melebihi sasaran awal RM5 bilion.
Menurutnya Melaka merekodkan RM3.59 bilion pelaburan baharu pada suku ketiga 2025 terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan sekali gus menjadikan negeri itu di landasan untuk melepasi sasaran pelaburan tahunan.
Berikutan momentum itu, katanya kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM10 bilion menjelang 2030.
“GTP adalah taman perindustrian pertama di negeri ini yang diuruskan secara profesional untuk menyokong industri berasaskan penyelidikan dan pembangunan termasuk automasi, elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, teknologi hijau, komponen aeroangkasa serta teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya.
Beliau berkata perancangan pembangunan itu mematuhi piawaian antarabangsa, dengan pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan, penilaian impak alam sekitar, penilaian impak sosial, penilaian impak trafik serta selidik tanah untuk memastikan pembangunan ini adalah mampan, bertanggungjawab dan bersedia pada masa depan.
Menurutnya fasa pertama projek yang berkeluasan 49.25 hektar merangkumi lot tanah perindustrian, unit kilang dan penginapan pekerja secara berpusat, dengan kerja-kerja tanah telah siap melebihi 40 peratus.
Pengembangan projek itu di bawah fasa kedua pada masa akan datang melibatkan kerjasama dengan Jakel Group dan Franky Land Sdn Bhd, yang meliputi kawasan tambahan seluas 120.15 hektar.
Majlis pertukaran perjanjian antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan Teladan Group turut diadakan hari ini bagi menyelaraskan promosi, kemudahan dan pengurusan operasi untuk fasa pertama GTP.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial