SHAH ALAM, 7 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan tradisi tahunan dengan menaja kelengkapan Aidilfitri kepada 25 penghuni Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi sekali gus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosialnya.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat PKNS Sapna Turmidi berkata Program Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS memberi peluang kepada penghuni berusia lapan hingga 17 tahun memilih kelengkapan raya mengikut cita rasa sendiri.
"PKNS membelanjakan sebanyak RM10,000 dengan setiap seorang diberikan RM400 untuk membeli-belah seperti baju raya, pakaian tambahan, kasut, songkok, tudung, baju Melayu dan sebagainya di Kompleks PKNS dan SACC Mall.
“Ia tidak terhenti di situ kerana selepas ini kita (PKNS) akan menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada asrama yang sama dalam majlis berbuka puasa yang dijadualkan pada 21 Feb di bawah inisiatif Ramadan Kasih PKNS," katanya kepada Bernama di Kompleks PKNS, di sini hari ini.
Sapna berkata menjelang Ramadan, PKNS merangka pelbagai inisiatif kebajikan termasuk edaran bubur lambuk, penyerahan sumbangan barangan asas kepada warga emas, sumbangan tunai kepada Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Pulau Indah dan Iftar Ramadan.
Beliau berkata program seumpama itu bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan malah berperanan menyemai nilai keprihatinan, persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan semangat serta keberkatan Ramadan.
“Secara keseluruhan, inisiatif Ramadan Kasih PKNS mencerminkan komitmen berterusan PKNS sebagai agensi kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya di Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sapna berkata bazar Ramadan PKNS tahun ini akan beroperasi seperti biasa selain kerja pembinaan dan naik taraf yang sedang dilakukan di sekitar Aneka Walk dijangka siap sepenuhnya menjelang awal Ramadan.
Beliau berkata pelbagai kemudahan yang sudah disediakan dapat melonjakkan kehadiran orang ramai ke Kompleks PKNS dan SACC Mall berbanding sebelum ini untuk mendapatkan kelengkapan menyambut Aidilfitri pada harga berpatutan.
“Di Aneka Walk ini kita akan mengadakan pelbagai jualan termasuk agihan bubur lambuk. Bagi yang ingin berbuka puasa juga boleh membeli juadah di bazar dan terus ke situ untuk bersantai.
“PKNS yakin dapat menarik minat lebih ramai warga Shah Alam untuk membeli-belah di sini, khususnya dengan pengenalan Aneka Walk sebagai antara tarikan baharu dan saya mengajak orang ramai untuk merasai pengalaman baharu di Kompleks PKNS,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial