AM > BERITA

Hannah Yeoh Tinjau Projek Pembangunan Dalam Lawatan Pertama Ke Labuan

07/02/2026 06:38 PM

LABUAN, 7 Feb (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Labuan sejak mengambil alih portfolio itu pada 16 Dis 2025, dengan memberi tumpuan terhadap penilaian pelaksanaan projek pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian penduduk pulau bebas cukai itu.

Beliau berkata lawatan itu mengutamakan keperluan asas penting termasuk pengurusan sisa pepejal, kestabilan bekalan air dan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi tempatan yang mampan.

“Semasa lawatan pertama saya ke Labuan hari ini, saya mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pengurusan tertinggi Perbadanan Labuan bagi menilai status projek-projek yang sedang dilaksanakan, mengenal pasti cabaran pelaksanaan serta memperkukuh penyelarasan susulan antara agensi persekutuan dan tempatan.

“Saya juga berinteraksi dengan pemain industri pelancongan Labuan bagi meneroka peluang memperkasa potensi pelancongan serantau pulau ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan tangki simpanan air bernilai RM2.5 juta di kawasan perumahan Taman Mutiara di sini.

Sebagai sebahagian daripada pendekatan pelaksanaan berasaskan kerja di lapangan, Hannah turut meninjau kemajuan tiga projek utama. 

Antaranya ialah pembinaan sel baharu tapak pelupusan baharu sanitari serta menaik taraf loji rawatan larut serap di tapak pelupusan Kampung Bukit Kalam, satu-satunya kemudahan bagi pelupusan sisa di Labuan.

“Saya telah diberikan taklimat mengenai projek itu… Perbadanan Labuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan bekerjasama untuk menjalankan kajian mengenai kaedah pelupusan sisa yang lebih berkesan serta menjimatkan kos,” katanya.

Beliau turut melawat projek cadangan pembangunan ekopelancongan dan rekreasi awam bernilai RM11 juta di sepanjang jalan pesisir Nagalang, yang bertujuan merancakkan sektor pelancongan Labuan dan mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan mampan.

Selain itu, Hannah meninjau projek cadangan pembinaan tangki simpanan air di LDA Sungai Bedaun yang bertujuan meningkatkan kapasiti penyimpanan dan memperkukuh sistem pembekalan air di Labuan khususnya ketika gangguan bekalan atau tempoh permintaan tinggi.

“Isu asas seperti kestabilan bekalan air, pengurusan sisa yang selamat dan peluang ekonomi tempatan mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan seharian rakyat dan akan terus diberi keutamaan dalam perancangan serta pelaksanaan pembangunan di pulau ini,” katanya.

Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh serta para pegawai kanan Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan agensi kerajaan berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan