AM > BERITA

Kluster Tibi: KPM Patuh Saranan KKM, Keadaan Terkawal Setakat Ini - Fadhlina

07/02/2026 08:21 PM

NIBONG TEBAL, 7 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mematuhi sepenuhnya saranan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata setakat ini keadaan penyakit berkenaan masih terkawal dan berada di bawah pemantauan rapi KKM.

“Sebarang tindakan di institusi pendidikan dilaksanakan mengikut garis panduan kesihatan awam yang ditetapkan KKM bagi memastikan keselamatan murid, pendidik dan warga sekolah sentiasa terpelihara,”katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Festival Nibong Tebal 2026  yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa negeri melaporkan pengesanan kes tibi melibatkan kluster komuniti dan sekolah, dengan saringan kontak rapat serta langkah pencegahan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri mengikut garis panduan KKM. 

Pada 4 Feb, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan satu kluster tibi di Kota Tinggi pada 25 Jan lepas dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Feb. 

Sementara itu, mengenai Festival Nibong Tebal 2026, Fadhlina berkata festival komuniti seperti itu perlu terus memberi penekanan kepada penglibatan masyarakat setempat serta generasi muda supaya roh dan identiti festival kekal relevan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mencadangkan usaha menghidupkan semula tarikan alam semula jadi seperti kelip-kelip yang suatu ketika dahulu sinonim dengan Nibong Tebal, melalui kerjasama pasukan penyelidik yang sedang meneliti potensi pemuliharaan spesies berkenaan.

“Selain itu, warisan makanan tempatan seperti kepelbagaian jenis siput yang hanya dijual pada bulan Ramadan serta reputasi durian Black Thorn dari Nibong Tebal wajar diketengahkan sebagai antara identiti dan tarikan unik kawasan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan