Oleh Hasnah Jusid
ISKANDAR PUTERI, 7 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor bercadang melaksanakan kajian semula bagi menilai potensi penggunaan air bawah tanah sebagai satu sumber alternatif khususnya bagi memenuhi keperluan syarikat pusat data yang berkembang pesat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Telekomunikasi Mohamad Fazli Mohammad Salleh berkata cadangan tersebut pernah diangkat pada 2025 berikutan kajian lama kira-kira lima tahun lepas menggunakan teknologi lama yang mungkin sudah tidak relevan digunakan.
Mohamad Fazli berkata hasil kajian pada waktu tersebut mendapati Johor memiliki sumber air bawah tanah yang terhad berbanding negeri di utara seperti Perak dan Kedah.
“Sebelum ini kita rasa kurang sesuai memandangkan kajian sebelum ini menunjukkan bahawa sumber air bawah tanah di Johor adalah terhad dan jauh lebih kecil berbanding lembangan air sedia ada.
“Mungkin semasa kajian terdahulu dijalankan teknologi yang ada masih terhad sebab itu kawasan Johor dilihat seolah-olah tiada air bawah tanah. Jadi ada cadangan supaya kajian ini dilihat semula menggunakan teknologi yang lebih terkini,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Sebelum ini Bernama melaporkan pandangan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Fadhil Md Din yang mencadangkan syarikat pusat data yang merancang membangunkan fasiliti di Johor supaya, meneroka potensi air bawah tanah bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan awam.
Mohd Fadhil berkata kebergantungan pusat data kepada sumber air awam dalam jangka panjang berisiko meningkatkan tekanan terhadap bekalan domestik dan industri lain, khususnya apabila pembangunan fasiliti berintensif air itu berlaku secara berkelompok.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata pihaknya faham mengenai kebimbangan ramai berhubung ketercukupan sumber air dan tenaga elektrik untuk dibekalkan kepada pusat data di negeri ini, namun kerajaan negeri mempunyai perancangan sistematik dalam perkara ini.
Beliau berkata langkah itu dapat dibuktikan dengan penubuhan Jawatankuasa Pusat Data Johor dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Shukor dan Jawatankuasa Khas Teknikal Pusat Data yang dipengerusikan beliau sendiri.
Mohamad Fazli berkata dari aspek teknikal, setiap syarikat pusat data yang ingin membina fasiliti di sini perlu mematuhi pelbagai syarat ditetapkan antaranya mematuhi Keberkesanan Penggunaan (PUE) ditetapkan, manakala Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) pula perlu berada di bawah 1.8, selaras standard di Singapura.
Beliau berkata beberapa pusat data kini hampir tidak menggunakan air atau zero water usage, namun pendekatan tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya, termasuk keperluan penggunaan elektrik yang lebih tinggi.
“Bagi menangani perkara ini, kerajaan negeri menggunakan sumber air alternatif daripada pihak industri. Kita juga mempunyai pelbagai sumber air dan telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Indah Water Konsortium (IWK) supaya air kumbahan tidak dibazirkan, sebaliknya boleh dirawat dan digunakan semula,” katanya.
Beliau berkata pusat data juga digalakkan menggunakan teknologi terkini, sebagai contoh sistem yang membolehkan air digunakan semula hingga enam kali pusingan malah memberi manfaat dari segi kecekapan operasi.
Mohamad Fazli berkata bukan sahaja pusat data, tekanan utiliti sama ada air mahupun elektrik turut disumbang industri lain, sejajar perkembangan pesat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus menyaksikan kerajaan negeri membuat pelbagai perancangan awal.
“Sebagai contoh bagi bekalan elektrik, ia sepatutnya tidak menjadi masalah kerana kita disambungkan terus kepada national grid. Ini bermakna kita tidak hanya bergantung kepada sumber tenaga di Johor sahaja, sebaliknya boleh mendapatkan bekalan daripada janakuasa di kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata terdapat juga trend penggunaan tenaga hijau atau green energy dan bagi pusat data serta industri tertentu, mereka juga menggunakan skim kredit karbon yang ditawarkan, termasuk melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Setakat suku kedua 2025, sebanyak 42 projek pusat data telah diluluskan di Johor, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pelaburan pusat data utama di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial