LABUAN, 7 Feb (Bernama) -- Ribuan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Kompleks Sukan Labuan malam ini bagi menyaksikan kembalinya acara yang sudah lama dinantikan iaitu Perarakan Tanglung sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di sini.
Perarakan penuh warna-warni anjuran Perbadanan Labuan itu, yang telah direhatkan lebih sedekad, menandakan kebangkitan semula budaya yang signifikan bagi pulau bebas cukai tersebut dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada komuniti setempat.
Sejumlah 50 kontinjen mengambil bahagian yang terdiri daripada pelajar pelbagai sekolah dan institusi teknikal, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, kampung serta Persatuan Kebudayaan Kadazandusun selain kumpulan komuniti setempat yang mempamerkan keharmonian berbilang budaya melalui kemeriahan paparan tanglung dan persembahan tersusun.
Acara itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang diiringi timbalannya, Datuk Lo Su Fui.
Kepulangan Perarakan Tanglung disambut meriah oleh penduduk setempat, yang kebanyakannya menyifatkan ia sebagai detik nostalgia yang penuh bermakna bagi kemuncak sambutan Hari Wilayah Persekutuan sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya Labuan dan semangat komuniti yang begitu utuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial