AM > BERITA

Musim Peperiksaan Bukan Masa Sesuai Untuk Perhimpunan - MPP UMT

07/02/2026 11:23 PM

KUALA NERUS, 7 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan sebarang bentuk perhimpunan atau konfrontasi jalanan pada musim peperiksaan adalah tidak sesuai, demikian menurut Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (MPP UMT).

MPP UMT melontarkan pandangan itu susulan cadangan penganjuran perhimpunan atau demonstrasi terbuka berhubung pemansuhan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pada Isnin ini.

Kenyataan MPP UMT hari ini memaklumkan musim peperiksaan lebih sesuai digunakan untuk memberi tumpuan kepada pengajian mereka dan bukan menganjurkan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan tekanan emosi, mengganggu persekitaran kampus atau menjejaskan suasana kondusif pembelajaran.

"Kepentingan akademik dan kebajikan pelajar perlu diutamakan dalam tempoh kritikal ini. Musim peperiksaan merupakan fasa penting yang menuntut mahasiswa memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan akademik. 

"Oleh itu, sebarang perhimpunan berskala besar yang dirancang ketika tempoh ini tidak wajar dilaksanakan kerana berpotensi mengganggu fokus, ketenangan dan kesejahteraan pelajar," menurut kenyataan itu.

Menurut MPP UMT, pertimbangan terhadap masa dan situasi semasa amat penting bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terjejas.

Pada masa sama, MPP UMT menggalakkan pandangan serta aspirasi mahasiswa disalurkan melalui pendekatan yang lebih berhemah dan sesuai dengan keadaan semasa terutama menghormati musim peperiksaan sebagai tempoh yang perlu diberi keutamaan sepenuhnya kepada akademik.

Kenyataan itu turut memaklumkan MPP UMT akan terus komited dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa universiti berkenaan serta memastikan kepentingan akademik sentiasa menjadi keutamaan.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan pelajar akan berarak dari Taman Tugu ke Parlimen pada 9 Feb bagi mendesak pemansuhan AUKU 1971.

Demonstrasi itu, yang dijadualkan pada 9 pagi, dijangka melibatkan lebih 30 kumpulan pelajar termasuk Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia dan Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan