PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi atas komitmen padu dan tidak bersyarat India dalam menyokong usaha keamanan di seluruh dunia, termasuk di Timur Tengah, khususnya di Gaza.
Dalam sidang media bersama Modi di sini hari ini, Anwar berkata komitmen itu menunjukkan sokongan India terhadap proses keamanan global.
Anwar berkata perbincangan dengan Modi mengenai isu serantau dan antarabangsa melangkaui pertukaran diplomatik rutin, mencerminkan hubungan yang dibina atas asas kepercayaan dan persefahaman bersama.
"Perbincangan itu antara sahabat sejati, saling mempercayai dan memahami, dan oleh itu saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada beliau (Modi) atas komitmen padu yang menyokong usaha keamanan di seluruh dunia.
"Komitmen (Modi) untuk menyokong proses keamanan adalah tidak bersyarat, dan sudah tentu saya ingin menyatakan penghargaan saya," katanya.
Anwar berkata beliau juga menyokong keputusan India membuka konsulat jeneral baharu di Kota Kinabalu.
"Sebagai cerminan hubungan kukuh, saya setuju untuk menyokong keputusan kerajaan India membuka konsulat di Kota Kinabalu, Sabah," kata beliau.
Sementara itu, Modi berkata India dan Malaysia akan memperkukuh kolaborasi dalam memerangi keganasan, perkongsian risikan, dan keselamatan maritim, serta turut memperluas hubungan pertahanan dan kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
"Dalam bidang keselamatan, kita akan memperkukuh kerjasama dalam memerangi keganasan, perkongsian risikan, dan keselamatan maritim. Kita juga akan memperluas kolaborasi pertahanan, selain AI dan teknologi digital," kata Modi.
Mengenai isu global, beliau menekankan bahawa pembaharuan institusi antarabangsa adalah penting di tengah-tengah peningkatan ketidakstabilan dan menegaskan pendirian terhadap keganasan, dengan menyeru supaya "tiada berat sebelah dan kompromi."
Modi berkata rancangan India untuk membuka konsulat di Kota Kinabalu akan menyokong pengembangan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beliau merakamkan penghargaan terhadap Anwar dan rakyat Malaysia atas sambutan dan layanan mesra terhadap delegasinya semasa lawatan itu.
Modi juga mengundang Anwar untuk melawat India dalam masa terdekat.
Menerusi satu kenyataan bersama Kementerian Luar Negeri, kedua-dua pemimpin menghargai penglibatan India dalam rangka kerja Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus dan mengalu-alukan kepengerusian bersama Malaysia dalam Kumpulan Kerja Antikeganasan bagi penggal 2024-2027.
"Para pemimpin mempelawa semua ahli ADMM-Plus untuk menyertai Latihan Kumpulan Kerja Pakar mengenai Antikeganasan (EWG CT TTX) yang akan datang, dipengerusikan bersama oleh India serta Malaysia, dan dijadualkan dihoskan oleh Malaysia pada tahun ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial