AM > BERITA

KPDN Kedah Sumbang Kenderaan Kepada Kolej Vokasional

08/02/2026 02:39 PM

ALOR SETAR, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyumbang dua kenderaan lucut hak bagi memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada Kolej Vokasional Alor Setar di sini hari ini.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata kenderaan jenis Toyota Hilux dan Honda Civic itu telah dilucut hak kepada kerajaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata sumbangan itu bertujuan meningkatkan kemahiran praktikal pelajar serta memberi pendedahan kepada teknologi enjin kenderaan sebenar selaras dengan perkembangan pesat teknologi automotif masa kini.

“Penyerahan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KPDN dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi pendidikan melalui penyerahan aset yang telah dilucut hak kepada kerajaan.

“KPDN berharap aset yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak kolej bagi memastikan pelajar memperoleh latihan berkualiti sejajar dengan keperluan industri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata sepanjang 2025, sebanyak 131 tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan 43 kenderaan termasuk kereta, motosikal dan treler dengan nilai sitaan keseluruhan lebih RM3.49 juta.

Katanya selepas ini dua lagi kenderaan dijangka diserahkan kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra setelah selesai proses perundangan.

Beliau berkata pihaknya berharap sumbangan itu dapat memberi impak positif kepada sektor pendidikan serta komuniti setempat, selain membantu pelajar memperoleh latihan teknikal yang lebih menyeluruh melalui penggunaan peralatan sebenar.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Alor Setar Saari Yazit berkata sumbangan KPDN Kedah dapat memperkukuh latihan praktikal pelajar dalam bidang automotif yang kini mempunyai lebih 120 orang pelajar.

Beliau berkata dengan penambahan pelajar, jumlah kenderaan bagi latihan menjadi sangat penting supaya setiap pelajar mendapat pendedahan praktikal yang seimbang dan sempurna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan