KUALA LUMPUR, 8 Feb -- Penganjuran Hari Keselamatan Internet 2026 (HKI) di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini menjadi instrumen penting dalam memperkasakan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan digital, khususnya bagi mendapani ancaman siber yang semakin kompleks seiring perkembangan pesat teknologi.
Tinjauan Bernama mendapati pengunjung yang hadir menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai medium berkesan bukan sahaja dari segi pendedahan teknikal, malah sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengguna agar lebih berwaspada dan tidak leka.
Eksekutif Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Norafidah Abd Jamil, 45, berkata pengisian program yang disampaikan secara interaktif menerusi reruai maklumat serta pelbagai aktiviti santai termasuk untuk kanak-kanak menjadikan mesej berkaitan keselamatan siber lebih mudah difahami.
“Penganjurannya sangat menarik kerana pengisiannya ringkas dan santai, tetapi memberikan impak besar. Ia mengajar kita bahawa jika anak-anak melakukan kesilapan di bawah umur, ibu bapa perlu bertanggungjawab dan duduk bersama mereka untuk membetulkannya,” katanya kepada Bernama.
Ibu kepada enam anak itu berkata penganjuran HKI turut membantunya memahami risiko ancaman penipuan dalam talian dengan lebih mendalam, sekali gus meningkatkan tahap kewaspadaan dalam melindungi maklumat peribadi keluarga.
Senada dengan itu, suri rumah Shalini Guanasekaran, 39, yang menyifatkan program mesra keluarga tersebut sebagai “gedung ilmu” khususnya kepada ibu bapa yang kurang mahir dalam aspek teknikal penggunaan teknologi.
Beliau berkata panduan praktikal seperti cara menyekat kandungan tidak sesuai serta kawalan tempoh masa penggunaan skrin amat membantu dalam memastikan keselamatan digital anak-anak.
"Generasi muda sekarang cepat terpengaruh dan salah guna (teknologi). Saya amat berharap program seperti ini diperbanyakkan, malah kalau boleh dibawa ke peringkat sekolah agar kesedaran itu bermula dari awal.
"Walaupun saya sudah mula mencari maklumat sendiri sebelum ini, namun input daripada sambutan HKI ini mengukuhkan pemahaman saya tentang kepentingan kawalan dan had penggunaan telefon dalam kalangan anak-anak," katanya.
Sementara itu, bagi Nurul Syahida Annuar, 22, dari Bahau, Negeri Sembilan, program berkenaan memberi pendedahan bermakna kepada golongan muda mengenai kepentingan melindungi privasi dalam dunia digital.
“Sebagai generasi yang sentiasa menggunakan gajet, maklumat mengenai keselamatan akaun dan risiko di media sosial sangat penting agar kami tidak mudah terperdaya,” katanya.
Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab”, HKI 2026 menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial