IPOH, 9 Feb (Bernama) -- Demi menyantuni mereka yang sedang menghadapi kesulitan termasuk golongan pelajar akibat kos harian yang semakin mencabar, Kelab Santunan Budi Kinta (KSBK) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO), mengambil inisiatif melancarkan program pemberian makanan percuma ‘Tak Yah Bayor!!! Ambik Je’.
Penasihat persatuan merangkap pengarah program Azlan Muhammad Shukri berkata inisiatif berkenaan telah dimulakan sejak 2015, namun pada awalnya hanya menyantuni anak yatim dan gelandangan.
Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya telah memperluas sasaran kepada orang ramai kurang berkemampuan, termasuk kawasan menempatkan ramai pelajar.
“Sesiapa yang rasa lapar dan memerlukan, boleh datang ambil makanan dan minuman percuma. Tak kira siapa, tak payah daftar, tak ada syarat,” katanya ketika ditemui di lokasi program pertama ‘Tak Yah Bayor!!! Ambik Je’ di Meru, di sini, semalam.
Azlan berkata selain menyantuni mereka yang memerlukan, program berkenaan turut menyemarakkan amalan bersedekah kepada golongan rentan, selain bercadang mengadakannya setiap sebulan atau dua minggu sekali di lokasi berbeza sekitar bandar dan pekan.
Beliau berkata program yang dilaksanakan melalui gerai mudah alih atau pop-up stall yang ringkas dan mesra rakyat itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang mahu memberi sumbangan dalam bentuk makanan atau bahan asas, tanpa memerlukan pengurusan kewangan yang lebih rumit.
“Kita terima sumbangan daripada penderma dalam bentuk makanan bermasak dan siap sahaja, jadi mudah untuk kita sumbangkan. Jika tidak habis kita akan sedekah di masjid, surau atau rumah anak-anak yatim, kita juga alu-alukan sukarelawan tenaga kerja bagi menjalankan program,” katanya.
Menurut Azlan, bagi mereka yang mahu menyumbang digalakkan bertemu terus dengan wakil persatuan atau menghubungi beliau di talian 016-284 8773.
Pada program yang kali pertama diadakan itu, sebanyak 1,000 pek makanan seperti mi goreng, bihun goreng, nasi goreng, minuman dan lain-lain habis diagihkan kepada orang ramai dalam tempoh dua jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial