AM > BERITA

Kebakaran Di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung Berjaya Dipadam - Bomba

09/02/2026 10:36 AM

NIBONG TEBAL, 9 Feb (Bernama) -- Kebakaran sisa pepejal yang berlaku di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba selepas sembilan jam operasi pemadaman dijalankan bermula pada malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata operasi pemadaman dijalankan dari 8.21 malam tadi dan tamat sepenuhnya pukul 5.51 pagi.

"Hasil size up mendapati kebakaran melibatkan sisa pepejal di Fasa 3 tapak pelupusan sampah itu dengan keluasan terbakar 0.93 hektar atau 0.72 peratus daripada keseluruhan kawasan yang dianggarkan 12.9 hektar.

"Kerja-kerja overhaul diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 5.51 pagi selepas mendapati keadaan selamat serta tiada sebarang keberbahayaan lain di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman turut melibatkan kerja-kerja memunggar sisa pepejal menggunakan dua unit jengkaut bantuan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan sokongan 13 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

John Sagun berkata sebanyak 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, BBP Sungai Bakap, BBP Bayan Baru dan BBP Penanti terlibat dalam operasi itu dengan bantuan pelbagai aset termasuk jentera pemadaman, tangki air dan kenderaan sokongan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan